September 12, 2025

AMK Persoal PAS: Bertekad Mengangkat Budaya Politik Pelampau?

Merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim betapa Kerajaan bersikap terbuka untuk sebarang kritikan dan teguran yang membina dalam pelbagai isu. Budaya demokratik yang sihat ini terus segar di bawah Kerajaan MADANI, dan pihak berkuasa memberi ruang dan kemudahan agar sebarang bantahan mahupun kritikan itu dilonjak dengan baik dan beradab, serta tidak bertentangan dengan prinsip Perlembagaan dan hukum.

Tetapi kenyataan ini seolah-olah mahu menjadi "enabler" terhadap tindakan ganas dan biadab yang berlaku di Kampung Sungai Baru siang tadi. Menghalalkan keganasan atau kekerasan fizikal terhadap pihak berkuasa keselamatan dalam keadaan tiada seorang pun penduduk yang dicederakan oleh pihak berkuasa adalah sesuatu yang menuntut kecaman dan kejian dari semua pihak yang cintakan keamanan.

Individu yang mendatangkan kecederaan langsung tidak disentuh dan dikecam, berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas. Apakah PAS hari ini bertekad untuk mengangkat budaya politik pelampau selepas insiden qunut nazilah tempoh hari dan hari ini berdiam diri tatkala anggota keselamatan diperlakukan sedemikian rupa?

Sebahagian pimpinan PAS yang mengamalkan politik ala khawarij ini harus ditentang dan ditolak sekerasnya demi sebuah Malaysia yang aman dan stabil. Saya menggesa siasatan dijalankan dengan telus dan adil dan pembelaan sewajarnya kepada pegawai polis yang dicederakan.

Kamil Munim

Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up