Carian
April 23, 2024

ANGKATAN MUDA KEADILAN SEDIA HADAPI PILIHAN RAYA KECIL DUN N.06 KUALA KUBU BHARU, TEKAD SANTUNI BELIA SECARA AGRESIF

Mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan yang berlangsung pada Sabtu 20 April 2024 telah membuat ketetapan yang berkait dengan Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu. YB Izuan Bin Kassim yang juga merupakan Ketua AMK Negeri Selangor telah dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil (PRK) DUN N.06 Kuala Kubu Bharu. 

Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan memastikan jentera akar umbi di DUN Kuala Kubu Bharu berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik dan akan mengoptimumkan kapasiti jentera pilihanraya AMK. Di samping itu, jentera sokongan dari seluruh negara juga telah pun diarahkan untuk turun ke Kuala Kubu Bharu untuk membantu. 

Sepanjang tempoh kempen, AMK akan berkampung di beberapa kawasan tumpuan dan fokus untuk mendekati golongan belia dari pelbagai latar. Isu tumpuan bagi kerja-kerja penerangan adalah pembangunan dan isu setempat di samping persoalan peringkat nasional khususnya yang menyentuh soal perpaduan masyarakat, kepesatan ekonomi dan inisiatif Kerajaan Madani selain menangkis fitnah dan propaganda pembangkang. 

Seperti amalan lazim selama ini, kempen yang digerakkan oleh sayap pemuda kali ini juga akan digerakkan sendiri secara mandiri tanpa bergantung kepada jentera kerajaan. Kami yakin dengan kekuatan akar umbi parti yang bersedia untuk mengekalkan kemenangan di DUN Kuala Kubu Bharu. 

Kami yakin, golongan belia di Kuala Kubu Bharu mampu untuk menjelmakan diri sebagai sebuah kelompok generasi muda yang rasional, berpengetahuan, demokratik, dan matang dalam mendepani suasana politik yang runcing sekarang. 

Dalam menterjemahkan makna kematangan golongan belia ini, AMK yakin bahawa aspek kesederhanaan adalah elemen penting dalam kita mendepani semua isu yang berbangkit agar ianya dapat ditangani dengan cermat, harmoni dan penuh semangat perpaduan. Maka pilihan raya kali ini juga mestilah dilatari semangat yang sama.

Related Posts
crossmenuchevron-up