Kami menyeru kepada masyarakat antarabangsa untuk menilai krisis yang berlaku di Timur Tengah dengan sudut pandang yang adil dan saksama. Peperangan dalam apa jua bentuk akan membawa kerugian kepada semua pihak. Konteks di Timur Tengah sekarang ini memerlukan sebuah pendekatan yang berbeza bersandarkan kepada fakta dan keadaan semasa.
Serangan ke atas Misi Diplomatik Iran di Damsyik pada 1 April lalu telah mengorbankan 18 nyawa termasuk dua pegawai tinggi tentera dan perlu dinilai sebagai suatu jenayah perang yang dilakukan oleh Tentera Penjajah Israel, rentetan daripada serangan ke atas bumi Palestin yang meragut nyawa seramai 33,000 orang serta memungkinkan krisis kebuluran kritikal dalam masa terdekat.
Kami juga benar-benar kesal akan sikap yang tidak konsisten oleh Amerika Syarikat yang mengulangi komitmen “ironclad” bagi melindungi keselamatan Israel, tetapi terus membisu terhadap pelanggaran berkali-kali oleh pihak rejim Zionis. Kami berharap untuk melihat tindak balas yang tegas daripada komuniti antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat dan Sekutu berkenaan serangan ganas Israel di Syria dan Palestin.
Pelanggaran undang-undang antarabangsa secara berterusan oleh Israel dan sikap membisu Amerika Syarikat dan Sekutu adalah sangat membimbangkan. Kami menuntut agar dunia tidak boleh bertolak ansur dan pihak bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan.
Sebarang bentuk tindakan kekerasan hanya akan mengakibatkan krisis semakin kritikal. Kami menyeru kepada komuniti antarabangsa untuk sama-sama mengutuk dan bertindak tegas terhadap semua bentuk kekerasan dan keganasan, tidak kira pelakunya, demi mengakhiri konflik seterusnya mewujudkan keamanan berkekalan di rantau tersebut dengan berfokus kepada kemerdekaan rakyat dan negara Palestin sebagai agenda utama.
Angkatan Muda KEADILAN
15 April 2024