Carian
October 1, 2021

Isu Logo PH, Howard Lee Jangan Tunggang Nama Majlis Presiden Pakatan Harapan

Saya terbaca respon yang dibuat oleh Adun Pasir Pinji, Howard Lee yang juga merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan yang baru dilantik berhubung desakan akar umbi Parti Keadilan Rakyat yang mahukan logo Keadilan dipilih sebagai simbol Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke 15. Dalam respon itu beliau menegaskan yang Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk menggunakan Logo Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Respon beliau boleh dirujuk di sini : https://www.themalaysianinsight.com/s/342483

Saya kira kenyataan Howard ini sebagai dangkal dan terburu-buru kerana mendahului Majlis Presiden Pakatan Harapan yang belum memutuskan apa-apa keputusan berhubung isu logo. Selaku individu yang menjunjung semangat konsensus dalam Pakatan Harapan, Howard sepatutnya lebih menghormati proses membuat keputusan sebelum mengeluarkan respon pramatang.

Howard perlu bersikap terbuka dengan pendirian akar umbi Keadilan yang tegas mahukan logo Keadilan dipilih sebagai logo Pakatan Harapan dalam PRU 15. Desakan yang dibuat oleh akar umbi Keadilan seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan disokong dengan hujah yang kuat. Mereka membawa fakta bagaimana logo Keadilan telah terbukti mampu meraih sokongan majoriti rakyat Malaysia dalam PRU yang lalu.

Ternyata pemilihan logo Keadilan sebelum PRU14 merupakan langkah yang tepat walaupun ketika itu Pakatan Harapan memiliki 4 logo yang boleh dipilih iaitu logo DAP, Amanah, Bersatu dan Keadilan.

Adalah amat tidak wajar untuk Howard menunggang nama Majlis Pakatan Harapan untuk menafikan merit desakan akar umbi Keadilan ini. Lebih tidak wajar apabila Howard mendendangkan seolah-olah keputusan telah dibuat di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Howard juga melontarkan hujah bahawa Anwar Ibrahim memenangi kerusi Port Dickson dengan menggunakan logo Pakatan Harapan. Justeru bagi beliau tidak ada alasan untuk meragui kekuatan logo PH. Saya kira hujah ini terlalu mengambil mudah soal strategi Pilihan Raya yang lebih rumit dan rencam. Malah pelajar sekolah rendah pun boleh faham bahawa sosok Anwar Ibrahim merupakan seorang ‘Winnable Candidate’ walaupun diletakkan di kerusi yang paling sukar.

Kemenangan Anwar Ibrahim adalah kerana nama dan kredibiliti beliau yang sememangnya sudah dikenali seluruh negara. Mungkin jika Howard menggunakan logo Pakatan Harapan dan bertanding di Tanjung Malim, keputusannya boleh jadi berbeza.

Justeru saya menasihatkan Howard untuk bertenang dan tidak perlu bersungguh-sungguh untuk mematikan pandangan kritis akar umbi Keadilan.

Saya juga mengharapkan agar Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan berhubung isu logo berdasarkan fakta dan data. Satu kajian lapangan oleh agensi bebas perlu dijalankan terlebih dahulu bagi memilih logo terbaik yang akan digunakan sebagai lambang Pakatan Harapan dalam PRU 15. Janganlah semata-mata kerana PH sudah berdaftar dan memiliki logo, maka logo tersebut perlu diguna-paksa dalam Pilihan Raya.

Sekian.

Syukri Razab
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia

 

Related Posts
crossmenuchevron-up