Carian
September 28, 2022

KEBERGANTUNGAN DAN KETERSAMPAIAN: KUNCI KEPADA SISTEM PENGANGKUTAN AWAM YANG BERKESAN DAN BERIMPAK

1. Bersangkutan dengan Dasar Tenaga Negara (2022-2040) yang baru dilancarkan beberapa hari yang lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Malaysia menyasarkan untuk mencapai 50% kadar penggunaan mod pengangkutan awam menjelang tahun 2040.

2. Malaysia sentiasa menyasarkan untuk mencapai 40% kadar penggunaan mod pengangkutan awam sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11). Walau bagaimanapun, Malaysia hanya mencapai 21% kadar penggunaan mod pengangkutan awam sejak tahun 2018 iaitu meleset sebanyak 10% daripada sasaran sebenar yang diletakkan sedekad lalu.

3. Impaknya, dianggarkan warga Lembah Klang yang keluar bekerja menghabiskan sekurang-kurangnya 2 jam setiap hari di dalam kenderaan mereka kerana kesesakan lalu lintas berulang-alik ke tempat kerja dengan masa tambahan sehingga 25% daripada jadual kerja harian selama 8 jam.

4. Walaupun kerajaan telah membelanjakan lebih RM100 bilion untuk meluaskan liputan rel di Lembah Klang, jumlah penumpang untuk sistem ini masih kurang daripada sasaran. Sebagai contoh, MRT Laluan Kajang menganggarkan jumlah penumpang harian sebanyak 442,000 pada tahun pembukaannya pada 2017. Hakikatnya, purata penumpang harian untuk MRT Laluan Kajang hanyalah sebanyak 204,821 penumpang pada tahun 2019 (prapandemik).

5. Hakikatnya, kerajaan telah gagal untuk menekankan soal ketersampaian (connectivity) mahupun kebergantungan (reliability) keseluruhan sistem pengangkutan awam yang kedua- duanya sama penting bagi meningkatkan kadar penggunaan mod pengangkutan awam negara kita yang sedia ada rendah ini.

6. Daripada sudut ketersampaian, penggunaan bas pengantara (feeder bus) yang seharusnya menghubungkan kawasan perumahan atau mana-mana kawasan lain ke stesen rel sekarang masih terhad. Oleh yang demikian, kerajaan perlu meningkatkan liputan perkhidmatan bas pengantara di Lembah Klang kerana dengan mengabaikan keperluan untuk meningkatkan ketersampaian antara kawasan kejiranan dan stesen kereta api ini akan menyebabkan pembinaan banyak stesen rel tidak mencapai matlamatnya.

7. Selain itu, kebergantungan terhadap sistem pengangkutan awam juga merupakan satu lagi kunci untuk meningkatkan kadar penggunaan mod pengangkutan awam. Berdasarkan indikator yang dikeluarkan oleh Indeks Mobiliti Bandar Lestari 2017, sistem pengangkutan awam di Lembah Klang mempunyai kadar kebergantungan antara yang terendah di dunia.

8. Sebagai contoh, hal ini dapat dilihat melalui laluan LRT Kelana Jaya yang sehingga kini masih belum meneruskan kekerapannya seperti sebelum pandemik, iaitu kekerapan bagi setiap 2-3 minit pada waktu puncak. Kekerapan laluan LRT Kelana Jaya kini masih dengan selang 5-6 minit pada waktu puncak dan bermakna kecekapannya kini hanya separuh daripada sewaktu sebelum pandemik walaupun keadaan sekarang sudah beransur seperti sedia kala sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap pengangkutan awam yang kurang cekap.

9. Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan ingin menggesa kerajaan untuk komited dalam meningkatkan ketersampaian dan kebergantungan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam kita supaya dapat mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian, terutamanya buat golongan belia dan anak muda.

10. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, gagal melangsaikan komitmen pinjaman kereta menjadi salah satu faktor utama 60% rakyat Malaysia yang berumur antara 25 sehingga 44 tahun diisytiharkan muflis.

11. Oleh yang demikian, Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang efisien dan berimpak bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti negara bahkan akan meringankan beban anak muda yang mahu mulakan kehidupan baru.

MOHAMMAD AZFAR AZA
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan

Related Posts
crossmenuchevron-up