Carian
August 14, 2021

Mahiaddin Bersedia Menjadi Ketua Pembangkang Atau Bersara

Di saat rakyat Malaysia dan para petugas barisan hadapan tertunggu-tunggu sebarang pengumuman penting berkenaan pakej bantuan dan inisiatif oleh kerajaan kepada rakyat bagi menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini, ternyata ianya tidak berlaku dan jauh meleset.

Malah ruang Ucapan Khas Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin semalam telah digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berpolitik dan membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka untuk membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan Ucapan Khas Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin semalam. Beliau sendiri mengaku bahawa beliau mempunyai kelemahan dan kekurangan.

Paling mengejutkan beliau menyatakan sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

Ini sekaligus mengesahkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh beliau juga tidak mempunyai sokongan majoriti dari Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Sudah tentu sekali membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya bukanlah pilihan yang terbaik buat masa ini.

Dalam Ucapan Khas tersebut, Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin dilihat seolah-olah merampas kuasa dan mendahului tugas Yang Di-Pertuan Agong. Di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan, baginda Yang Di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

AMK Kedah mengutuk sekeras-kerasnya tawaran dari Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin kepada Ketua Pembangkang iaitu akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan. AMK Kedah ingin mencadangkan agar Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin bersiap sedia untuk menjadi Ketua Pembangkang kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri yang sah atau beliau boleh meletak jawatan dan bersara daripada politik.

MOHAMMED FIRDAUS JOHARI
Ketua AMK Kedah

Related Posts
crossmenuchevron-up