Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) telah membuka pintu rundingan seluas-luasnya yang mana Keadilan telah menawarkan tiga kerusi kepada parti Muda untuk ditandingi.
Namun rundingan tersebut gagal selepas Muda sendiri menolak ketiga-tiga kerusi berkenaan kerana hanya menginginkan kerusi bandar dan kerusi selesa.
Kita faham Muda baru dilahirkan namun dalam politik Muda tidak boleh berlagak seperti bayi yang perlu disuap sentiasa. Muda perlu merasai perit perjuangan untuk mencapai kemenangan dan bukan dengan mengemis dan mengugut untuk mendapatkan kerusi selesa bagi memenangi pilihanraya.
Muda cuba ganggu kerusi Keadilan di DUN Larkin, Ulu Tiram serta beberapa DUN lain dan turut menyerang bekas ADUN Keadilan. Namun atas semangat kesepakatan, Keadilan 'move on' dan tawarkan tiga kerusi kepada Muda.
Keadilan juga menawarkan jentera kepada Muda bagi kawasan Puteri Wangsa walaupun sebelum ini Keadilan bertegang leher dengan Amanah untuk kerusi berkenaan.
Jika benar fokus Muda untuk menumbangkan Barisan Nasional serta Perikatan Nasional dengan berkerjasama dengan Pakatan Harapan, mengapa Muda gelojoh ingin melanggar beberapa kerusi Keadilan seolah ingin memecahkan undi pembangkang?
Jika Muda tidak yakin mampu menang melawan BN dan PN di kubu kuat mereka, adalah lebih baik Muda tidak bertanding pada PRN kali ini.
Semangat yang ditonjolkan Syed Saddiq tidak mencerminkan semangat anak muda yang ingin menentang kebobrokan kerajaan zalim hari ini melainkan hanya untuk menjadi 'Yang Berhormat' semata.
Namun berbalik kepada isu gertakan Syed Saddiq yang ingin melanggar Keadilan, saya hanya boleh kata LAWAN TETAP LAWAN.
Daripada Muda yang baru bertapak berlagak sombong ingin melanggar 'rakan' dalam 'khemah besar' yang mereka impikan, adalah lebih baik Syed Saddiq fokus kepada rakan mereka dari Parti Warisan.
Umum mengetahui Parti Warisan telah meletakkan penyandang kerusi Puteri Wangsa, Mazlan Bujang sebagai calon Warisan dalam PRN Johor kali ini. Ini jelas menunjukkan 'sahabat baik' Muda itu juga tidak ingin memberikan ruang selesa kepada Muda di kerusi boleh menang berkenaan.
Berbeza dengan Muda, Keadilan sejak melalui pilihanraya pertama hingga ke hari ini tidak pernah gentar meletakkan calin di kerusi gred A hingga ke gred D. Kerana kita yakin Biru Muda pilihan rakyat Johor dan rakyat Malaysia dan ini kita telah buktikan PRU-14 lalu.
Thiban Subbramaniam
Naib Ketua AMK Malaysia