Carian
August 10, 2021

Pembukaan Sektor Perdagangan Domestik Dan Peruncitan Perlu Dipertimbangkan, Jikalau "Dine-In" Dibenarkan

1. Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran SOP kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang merangkumi kemudahan “dine-in” di premis makan, rentas negeri untuk sebab tertentu dan rentas daerah untuk pelancongan dalam negeri.

2. Walau bagaimanapun, pembukaan sektor perdagangan domestik dan peruncitan seperti yang dituntut oleh wakil sektor dan persatuan perniagaan masih belum dipertimbangkan dalam kelonggaran ini, sedangkan kemudahan “dine-in” yang mempunyai risiko lebih tinggi telah dibenarkan.

3. Sehubungan itu, data dan statistik daripada KKM telah membuktikan bahawa sektor perdagangan domestik dan peruncitan bukan penyumbang besar kepada kluster Covid-19, di mana hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan kluster melibatkan sektor ini, manakala tahap pematuhan SOP sektor berkenaan pula ialah 98.54 peratus.

4. Saya ingin menegaskan bahawa sektor perdagangan domestik dan peruncitan memainkan peranan yang penting dalam ekosistem ekonomi negara dan sektor ini merupakan antara yang paling terkesan akibat penutupan sektor ekonomi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan di seluruh negara.

5. Oleh yang demikian, pembukaan semula sektor perdagangan domestik dan peruncitan wajar dipertimbangkan dengan penetapan garis panduan atau SOP yang ketat selepas
mengambil kira cadangan daripada wakil sektor. Contohnya, penetapan jumlah individu yang dibenarkan masuk pada sesuatu masa, pemakaian sarung tangan semasa membeli belah, penunjukan bukti kelengkapan vaksin dan kekerapan sanitasi premis.

6. Di samping itu, kelangsungan imunisasi tenaga kerja sektor perdagangan domestik dan peruncitan perlu diambil kira dalam pertimbangan pembukaan semula sektor ini. Saya menggesa kerajaan untuk memberi keutamaan dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada golongan ini supaya pembukaan sektor ini dapat disegerakan dan mereka dapatkembali ke tempat kerja dalam masa terdekat.

7. Kerajaan sepatutnya membuat perancangan yang rapi mengenai pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan bukan membuat keputusan secara tergesa-gesa mengikut selera golongan tertentu. Pembukaan semula sektor perdagangan domestik dan peruncitan yang merupakan penggerak ekonomi wajar dipertimbangkan demi menjamin kelangsunganekonomi negara pada ketika ini.

8. Selain itu, saya juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa kemudahan pelancongan dalam negeri yang baru diumumkan tidak akan sempurna dengan penutupan sektor peruncitan yang melibatkan semua pusat membeli-belah.

GAVIN WAY
EXCO ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Related Posts
crossmenuchevron-up