Carian
August 6, 2021

Sektor Kilang Sah Penyumbang Utama Kluster Di Selangor, Azmin Mengelirukan Dewan

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengambil maklum akan kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor yang mendakwa sektor perkilangan sebagai penyumbang kluster terbesar di negeri Selangor.

Dalam satu ciapan yang disiarkan di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (@KKMPutrajaya), Pengarah JKN Selangor memaklumkan sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar kluster di Selangor. Ia juga mendakwa tiada satu pun kluster di Selangor berpunca daripada sambutan perayaan.

Ciapan yang disiarkan pada jam 10.53 pagi tadi jelas menunjukkan kekhuatiran yang disuarakan sebelum ini oleh pihak pembangkang adalah benar.

Sebelum ini AMK telah mendesak pihak kerajaan untuk menutup sektor perkilangan sementara termasuk meminta kerajaan negeri untuk menggunakan kuasa kerajaan negeri menutup sementara operasi kilang.

Namun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin Ali memberikan amaran tindakan saman jika kerajaan negeri melangkaui keputusan kerajaan pusat yang membenarkan kilang-kilang berkenaan terus beroperasi.

Malah Azmin juga menafikan sektor perkilangan menjadi penyumbang kluster terbesar. Ini jelas beliau mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan atau berbohong.

Demi menaikkan semula ekonomi dengan pelan yang tidak jelas, kerajaan hanya menjadikan keadaan semakin teruk.

Negeri Selangor atau Lembah Klang amnya telah lumpuh dengan mencatatkan kes harian lebih 10,000 kes sehari. Dalam tempoh dua minggu sahaja kawasan ini menyumbang 100,000 kes positif serta kes kematian tertinggi.

Jelas kerajaan hari ini bukan sahaja gagal dalam menjaga keselamatan rakyat, malah kerajaan tidak peduli akan kesihatan rakyat dengan mengerah rakyat berdepan dengan wabak pembunuh demi menaikkan semula ekonomi.

Kerancakan Program Imunisasi Kebangsaan tidak boleh dijadikan kayu ukur dan justifikasi untuk sektor perkilangan terus beroperasi dalam skala besar di seluruh negara terutama di Selangor.

AMK juga menggesa kerajaan mengeluarkan data jumlah pekerja kilang yang telah menerima suntikan Vaksin Covid-19.

Ini adalah penting agar umum tahu dalam keghairahan kerajaan membenarkan sektor perkilangan terus beroperasi, adakah para pekerja ini diberi keutamaan mendapatkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan atau mereka hanya dikerah untuk menjana ekonomi tanpa perlindungan sewajarnya yang layak diterima para pekerja ini.

YB CHUA WEI KIAT
Ketua AMK Selangor

Related Posts
crossmenuchevron-up