Carian
June 6, 2021

Pendekatan Dwipartisan Bagi Menghadapi Isu Kedaulatan Negara

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKKPH) telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Pertahanan pada 3 Jun 2021, berkenaan isu 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang telah memasuki Wilayah Maklumat Penerbangan (Flight Information Region) Kota Kinabalu pada 31 Mei 2021.

JKKPH telah mencadangkan supaya Menteri Pertahanan menganjurkan taklimat rasmi dwipartisan berkenaan isu tersebut bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara.

Selepas Malaysia menghantar nota bantahan, kedutaan China menerangkan bahawa penerbangan tersebut merupakan “latihan penerbangan biasa” dan pesawat dikatakan menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara tersebut.

Harus ditegaskan bahawa tindakan pesawat tersebut yang enggan mematuhi arahan untuk menghubungi kawalan trafik udara FIR Kota Kinabalu adalah membahayakan keselamatanruang udara dan tidak berniat baik (not in good faith). Apabila pesawat asing dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika dari zon maritim Malaysia, tindakan ini adalah mencurigakan dan tidak selari dengan “orde dunia berasaskan peraturan” (rules based international order).

Pakatan Harapan memandang serius insiden ini dan menegaskan hak Malaysia untuk mendapat penjelasan yang munasabah daripada negara China.

Majlis Presiden berpendapat bahawa isu mustahak yang menyentuh kedaulatan negara dan pembaharuan pertahanan perlu diuruskan secara dwipartisan. Insiden ini membangkitkan beberapa persoalan penting termasuk pelan tindakan untuk menangani pencerobohan serta pemodenan keupayaan ATM berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019.

Bagi menghadapi krisis dan wabak Covid-19, kerajaan dan pembangkang harus mengetepikan soal politik dan mencari jalan penyelesaian bersama atas dasar kepentingan negara.

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up