June 9, 2025

Isu Fahmi Reza: Hormati Kebebasan Asasi dan Perlembagaan Persekutuan

Saya mengambil maklum tentang kenyataan YAB Perdana Menteri berhubung dakwaan sekatan pergerakan terhadap aktivis saudara Fahmi Reza, serta penjelasan susulan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain, dalam kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 8 Jun 2025.

Saya ingin menyatakan keyakinan dan kepercayaan saya bahawa pentadbiran MADANI ini kekal komited menjunjung kebebasan asasi rakyat selagi mana ia tidak mengancam keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada. Prinsip ini adalah tiang seri kepada demokrasi yang matang dan sistem negara hukum yang berteraskan keluhuran Perlembagaan.

Namun begitu, merujuk kepada penjelasan Ketua Polis Negara bahawa larangan ke luar negara terhadap Fahmi Reza pada 7 Jun lalu berpunca daripada “kekeliruan semasa proses semakan”, saya memandang insiden ini sebagai perkara yang amat serius dan tidak boleh dianggap remeh.

PDRM menjelaskan bahawa nama saudara Fahmi hanya tersenarai dalam sistem pemantauan dalaman, bukan sebagai subjek sekatan rasmi. Tetapi realitinya, beliau tetap telah disekat secara fizikal daripada ke luar negara. Ini jelas menunjukkan berlakunya kecuaian dan ketidakaturan serius dalam pelaksanaan prosedur. Insiden sebegini memberi kesan langsung kepada hak kebebasan individu, dan merupakan pencabulan terhadap kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Saya berpandangan bahawa insiden ini mungkin melibatkan pelanggaran kuasa (ultra vires), dan oleh itu satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan, termasuk kemungkinan wujudnya unsur sabotaj atau penyalahgunaan kuasa. Tindakan sewajarnya juga harus diambil sekiranya perkara tersebut terbukti..

Seperti yang ditegaskan oleh Mahkamah dalam kes Rosli Dahlan v. IG Tan Sri Razarudin Husain & Ors [2025] 2 CLJ 115:
“Criminal investigative bodies are not above the law and any abuse of powers for collateral purposes is subject to be quashed… If such abuse of power by the Executive bodies is without legal restraint, there would be dictatorship and it becomes the duty of the court to intervene.”

Kita menghormati peranan institusi penguatkuasaan, namun kepercayaan rakyat hanya dapat dipelihara jika institusi ini terus mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan ketersediaan untuk memperbaiki kelemahan prosedur sedia ada. Dalam hal ini, saya menghargai kesediaan dan keterbukaan Ketua Polis Negara untuk menyiasat insiden ini secara serius, serta mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memperkemas prosedur sedia ada.

Saya turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme pampasan wajar kepada individu yang menjadi mangsa kecuaian prosedur, sebagai langkah menghormati hak mereka yang telah dinafikan secara tidak sah.

Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus bersuara untuk mempertahankan hak asasi semua rakyat – tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik – agar kebebasan mereka sentiasa dilindungi dalam kerangka demokrasi yang adil dan berfungsi.

YB CHIEW CHOON MAN
NAIB KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA
AHLI PARLIMEN MIRI

Related Posts
crossmenuchevron-up