1. Mesyuarat Bulanan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) telah diadakan pada petang hari ini, Wanita KEADILAN menzahirkan kegusaran terhadap kadar pengujian Covid-19 yang rendah dan kadar pemvaksinan yang perlahan dalam negara memandangkan jumlah kes positif Covid-19 yang masih tinggi dan tidak turun ke bawah 4000 seperti yang dijangkakan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
2. Wanita KEADILAN sekali lagi mendesak Kerajaan Mahiaddin mengambil tindakan dengan kadar segera untuk menyiapkan program pemvaksinan di pusat jagaan warga emas yang berlesen atau tidak berlesen termasuk penjaga dan kakitangan pusat jagaan terlebih dahulu berbanding dengan program pemvaksinan yang lain.
3. Tambahan pula, laporan media juga mendedahkan beberapa kes jangkitan kes Covid-19 positif di pusat warga emas walaupun selepas penyuntikan vaksin dos pertama. Wanita KEADILAN ingin menarik perhatian kerajaan supaya turut membekalkan pakaian perlindungan peribadi (PPE) asas yang mencukupi kepada pusat jagaan warga emas untuk mengurangkan kebolehjangkitan virus dalam pusat melalui aktiviti penjagaan harian yang hampir mustahil melaksanakan penjarakkan fizikal pada setiap masa.
4. Wanita KEADILAN juga menggesa agar Kerajaan Mahiaddin mengambil serius terhadap implikasi sosial daripada PKP 3.0 seperti kadar membunuh diri yang meningkat dengan mendadak, keganasan berasas gender dan Demam Kabin (Cabin Fever) di kalangan kanak – kanak dan kemurungan dihadapi oleh penghuni warga emas di pusat jagaan warga emas.
5. Wanita KEADILAN juga memohon kerajaan meneliti 8 agenda penetapan semula ekonomi negara pasca Covid-19 yang dicadangkan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) memandangkan impak pandemik terhadap isi rumah dengan catatan mempunyai lebih 600,000 isi rumah M40 tergelincir ke kategori B40 berdasarkan laporan EAC.
6. Pada masa yang sama, Wanita KEADILAN mengecam kerajaan yang gagal ini bukan sahaja tidak dapat memberi pakej bantuan kepada M40 tetapi memupuk budaya pinjaman “Ah Long Berlesen” di bawah inisiatif Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin. Tindakan ini akan memberikan impak sosial yang bertambah parah kelak dan bakal menjadi punca keluarga berpecah-belah.
7. Oleh itu, Wanita KEADILAN menggesa agar Kerajaan Mahiaddin menyegerakan pelaksanaan Moratorium dan menyampaikan bakul makanan secara telus, menyeluruh dan menepati sasaran setelah mengambil kira data terkini EAC. Jangan biar rakyat menderita lama dalam keadaan menunggu – nunggu tanpa halatuju kerana kegagalan kerajaan.
Fuziah Salleh
Ketua Wanita KEADILAN
Parti Keadilan Rakyat