November 5, 2026

𝐈𝐍𝐈 𝐒𝐎𝐀𝐋 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐈𝐊, 𝐁𝐔𝐊𝐀𝐍 𝐀𝐊𝐈𝐃𝐀𝐇!

Saya terkejut membaca tulisan 𝐌𝐢𝐧𝐝𝐚 𝐏𝐫𝐞𝐬𝐢𝐝𝐞𝐧 𝐏𝐀𝐒 bertajuk “𝐓𝐞𝐦𝐩𝐢𝐚𝐬 𝐃𝐚𝐣𝐣𝐚𝐥 𝐒𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐓𝐢𝐛𝐚” oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebagai pendekatan Dajal, malah mengaitkannya dengan sifat-sifat Dajal.

Bagi saya, kenyataan sebegini sangat ekstrem dan keterlaluan. Kita sedang membincangkan sebuah mekanisme persefahaman politik, bukannya persoalan akidah atau keimanan seseorang. Sejak bila perbezaan pendekatan politik perlu diheret sehingga dikaitkan dengan Dajal?

Abdul Hadi berhujah bahawa kerajaan wajib berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mensyaratkan sokongan politik. Prinsip keadilan itu tidak dipertikaikan. Namun, apakah asas untuk mengaitkan sebuah perjanjian politik yang dicapai melalui rundingan dengan sifat-sifat Dajal? Adakah perbezaan pandangan terhadap sesuatu dasar sudah cukup untuk menggunakan gambaran keagamaan seberat itu?

Ironinya, dalam tulisan tersebut beliau sendiri memetik Surah al-Ma'idah ayat 8 yang mengingatkan agar kebencian terhadap sesuatu kaum tidak mendorong kita berlaku tidak adil. Bukankah prinsip yang sama sepatutnya menjadi panduan ketika menilai pihak yang berbeza pandangan politik?

Sebagai seorang tokoh agama dan pemimpin politik, setiap ungkapan Abdul Hadi membawa pengaruh besar kepada masyarakat. Apabila istilah Dajal digunakan dalam pertikaian politik, ia boleh membentuk persepsi bahawa pihak yang berbeza pendekatan bukan sekadar salah dari sudut politik, tetapi seolah-olah membawa kejahatan dari sudut agama.

𝐊𝐫𝐢𝐭𝐢𝐤𝐥𝐚𝐡 𝐂𝐒𝐀 𝐛𝐞𝐫𝐝𝐚𝐬𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐟𝐚𝐤𝐭𝐚, 𝐤𝐚𝐧𝐝𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚. 𝐉𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐛𝐞𝐳𝐚𝐚𝐧 𝐩𝐨𝐥𝐢𝐭𝐢𝐤, 𝐢𝐬𝐭𝐢𝐥𝐚𝐡 𝐚𝐠𝐚𝐦𝐚 𝐝𝐢𝐠𝐮𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐠𝐚𝐦𝐛𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐢𝐡𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐬𝐞𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐩𝐞𝐦𝐛𝐚𝐰𝐚 𝐤𝐞𝐣𝐚𝐡𝐚𝐭𝐚𝐧.

Politik memerlukan hujah dan kematangan, bukannya retorik keagamaan yang boleh menyuburkan kebencian dan perpecahan.

Dr. Fuziah Salleh

Setiausaha Agung KEADILAN

Facebook : https://www.facebook.com/share/1E8GDxZKDY

Instagram : https://www.instagram.com/p/DfT-WeMtiI5

Threads : https://www.threads.com/share/BAZnNSvZQk

Related Posts
crossmenuchevron-up