October 3, 2025

BEBASKAN SEGERA AKTIVIS GLOBAL SUMUD FLOTILLA, HENTI JENAYAH KEMANUSIAAN

Serangan yang berlaku ke atas Global Sumud Flotilla (GSF) jelas melanggar undang-undang dan norma antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), prinsip kemanusiaan lain serta hak asasi manusia para peserta di atas kapal.

KEADILAN selaku sebuah parti politik yang mendukung prinsip kemanusiaan di bawah Perkara 5.18 perlembagaan parti memberi halatuju yang jelas dan peranan di peringkat antarabangsa untuk berjuang membentuk dunia yang lebih adil, demokratik dan melindungi negara dari sebarang kuasa dunia yang menindas.

Usaha YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan Presiden KEADILAN yang menjadi tulang belakang gerakan GSF termasuk ikhtiar membebaskan semua tahanan menghantar mesej jelas di mata dunia untuk menolak sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.

KEADILAN mengambil maklum bahawa Saudara Danish Nazran Murad, yang telah ditahan ketika belayar dalam kumpulan GSF bersama kapal Grande Blu semalam adalah anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan dan turut berbangga dengan penyertaan Professor Dr. Mohd Afandi Salleh, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN yang menyertai Freedom Flotilla Coalition (FFC) kini masih berlayar bersama kapal Consience melambangkan keberanian dan pengorbanan anggota KEADILAN di pelbagai peringkat.

KEADILAN percaya kezaliman dan tindakan luar batas kemanusiaan rejim Zionis mesti terus dikecam oleh masyarakat dunia tanpa mengira latar belakang fahaman dan budaya kerana jelas kempen genosid yang sedang berlaku di bumi Gaza adalah satu jenayah terbesar dalam sejarah moden dunia.

Sekiranya semua negara konsisten berdiri diatas platform kemanusiaan dan keadilan sejagat, ianya akan memberi tekanan kepada rejim Zionis dan atas paksi tersebut KEADILAN mendesak agar semua tahanan dijamin hak mereka dan dibebaskan segera tanpa syarat selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Dr. Fuziah Salleh

Setiausaha Agung KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up