1. Saya amat kesal dengan kenyataan provokasi Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 4 Jun yang mengatakan bahawa KEADILAN tidak berani berkongres dengan perjumpaan bersemuka seperti di parlimen.
2. Anggota dan perwakilan KEADILAN tidak bersetujui dengan Menteri Perikatan Nasional seolah – olahnya mempunyai hak istimewa dan mengamal praktis dua darjat dalam hal berkaitan pematuhan procedur operasi standard (SOP) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
3. Tambahan lagi, KEADILAN tidak pernah meragui kepentingan pematuhan SOP sebagai langkah pencegahan dan membanteras penularan wabak Covid-19 dan adalah penting untuk mematuhinya. Sebaliknya, kekalutan yang berlaku hari ini adalah akibat kerajaan gagal memperolehi bekalan vaksin yang mencukupi dan kadar pemvaksinan yang rendah pada fasa awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
4. KEADILAN tidak pernah gentar mendepani pelbagai cabaran untuk menjalankan Kongres Nasional secara dalam talian sepenuhnya, apatah lagi Kongres Nasional Wanita Ke-15 telahpun berjaya disempurnakan pada 4 Jun 2021 demi mempertahankan prinsip demokrasi bermesyuarat walaupun diberikan masa 18 hari sahaja untuk mengadakan persiapan menjelang kongres tersebut.
5. Oleh itu, saya mencabar Hamzah dan YB Takiyuddin Hassan Menteri di Jabatan Perdana Menteri membenarkan Parlimen bersidang secara maya dengan serta merta kerana tiada apa yang perlu dikajikan lagi oleh kerajaan. Bahkan, kerajaan mengambil masa yang terlampau panjang untuk mengkaji sedangkan negara lain sudah pun melaksanakannya hal tersebut.
6. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) patut mencontohi azam yang ditunjukkan oleh KEADILAN iaitu mengharungi pelbagai cabaran dan halangan demi mempertahankan prinsip demokrasi berparlimen. Hal ini sepatutnya dijadikan teladan dan dipraktikkan dalam sidang Parlimen semasa pandemik ini.
Fuziah Salleh
Ketua Wanita Wanita KEADILAN
Ahli Parlimen Kuantan