Carian
April 16, 2021

GDBET333 Menyinggung Sensitiviti Umat Islam Di Bulan Ramadhan

Hari Raya Puasa juga selalu di sebut sebagai Hari Raya Aidilfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah, atau pun kembali sebagai manusia yang baik selepas berpuasa satu bulan, bukan setakat menahan lapar dan dahaga akan tetapi mentarbiyah diri untuk mengelakkan perlakuan mungkar.

Untuk GDBET333 mengeluarkan iklan seperti diatas mengajak umat Islam berjudi untuk mencari dana balik kampung serta beraya sungguh menyinggung sensitiviti umat Islam di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan yang tegas keatas pengeluaran lagu ini oleh gdbet333 yang jelas melanggar Akta SKMM.

Gdbet333 mempromosikan syarikatnya sebagai satu syarikat online casino dan telah mempengaruhi umat Islam menggunakan media sosial untuk berjudi selepas berpuasa di bulan Ramadhan semata mata untuk berhari raya. Ini amat amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih dari dosa kerana di bulan Ramadhan juga masa untuk memperoleh maghfirah atau keampunan dari Allah. Iklan gdet333 ini boleh juga di kira sebagai menghasut umat Islam terutama anak muda untuk melakukan dosa.

Saya juga menggesa menteri-menteri Parti Islam Se Malaysia (PAS) didalam kabinet dan juga menteri menteri beragama Islam untuk prihatin tentang hal ini dan mengambil tindakan yang tegas supaya amalan yang bertentangan dengan agama Islam ini tidak dijadikan sebagai kebiasaan dikalangan masyarakat orang Islam.

Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Ketua Wanita KEADILAN
Pengerusi KEADILAN Pahang

Related Posts
crossmenuchevron-up