Carian
June 23, 2021

Harus Buktikan Komitmen Kepada Kelestarian Alam Sekitar Melalui Enakmen Undang-Undang

Komitmen kepada kelestarian alam sekitar hanya boleh di bukti dengan menggubal enakmen undang-undang negeri. Selagi itu ianya kekal sebagai ‘lip service’ atau janji manis untuk mengelabui mata rakyat.

Pada 14 hb Jun 2021 KDYMM Pemangku Raja Pahang telah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Chini yang sedia ada di perluaskan dari 4600 ha kepada 6000 hingga 7000 ha. Patik menjunjung kasih di atas titah dan keprihatinan tuanku.

Baginda menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir yang baik (ESG – Environmental, Social & Governance) supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Selain itu, Baginda menyarankan agar semua aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan. Baginda juga mahu kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

Titah saranan tersebut telah di sambut oleh kerajaan Negeri Pahang dan dalam kenyataan yang di keluarkan pada 15 hb Jun 2021, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang menjunjung kasih dan menjunjung titah atas titah saranan Baginda mengenai pelbagai perkara berkenaan pemuliharaan Tasik Chini. Sehubungan itu, YAB MB berkata bahawa jabatan-jabatan berkenaan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri, telah pun diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan dan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

Namun hari ini kita dikejutkan dengan berita yang di siarkan Malaysiakini bahawa kawasan asal 4600 ha yang di rancang untuk di wartakan sebagai Hutan Simpan Kekal ( sejak 2019 masih belum menjadi kenyataan untuk diwartakan) telah pun di semak semula ( revised) semata-mata untuk memberi laluan kepada aktiviti perlombongan melalui kelulusan permit pajakan yang telah di berikan kepada Hanishah Ventures Sdn Bhd yang kemudiannya melantik syarikat Golden Prosperous Sdn Bhd sebagai operator. Kini kawasan lombong Lot 87978 yang berkeluasan 40.51 ha, lebih kurang 60 padang bola size Olympik tersebut telah pun terkeluar dari kawasan yang asal sepatutnya di wartakan sebagai Hutan Simpan Kekal. Kawasan lombong tersebut juga telah di kenalpasti sebagai kawasan sensitif alam sekitar kelas 2, seperti yang di pamerkan dalam laporan EIA keatas lombong tersebut.

Pada hemat saya keadaan ini tidak memeranjatkan sama sekali kerana walaupun sekiranya satu- satu kawasan telah di wartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, ianya tetap boleh di nyah wartakan oleh kerajaan negeri Pahang dengan mudah. Inikan pulak apabila ianya baru di janjikan sebagai kawasan yang akan di wartakan, dan belum pun di wartakan.

Situasi ini timbul kerana tiada enakmen negeri yang pernah di gubal oleh kerajaan Pahang untuk memelihara status Hutan Simpan Kekal dan memastikan proses yang ketat di gunapakai apabila mahu nyah warta. Dalam erti kata yang lain tiada kesungguhan dan komitmen untuk memelihara khazanah alam semula jadi ciptaan Tuhan. Lain pula dengan kerajaan negeri Selangor yang telah menggubal undang- undang negeri di mana telah di wujudkan Enakmen Hutan Selangor 2018 (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985. Enakmen ini tidak membenarkan proses nyah warta Hutan Simpan Kekal di lakukan secara wewenang serta perlu melalui proses yang ketat untuk menukar status mana-mana HSK.

Maka apalah yang di harapkan oleh kerajaan negeri Pahang. Kini kerajaan negeri boleh sahaja mengatakan apa sahaja kepada orang ramai, tanpa ada komitmen untuk mengotakan, walaupun titah KDYMM Pemangku Raja sekali pun, kerajaan boleh janjikan untuk di junjung titah dan di laksanakan akan tetapi tindakan berbeza sama sekali. Pada saya ini satu tindakan membelakangkan titah KDYMM Tuanku Pemangku Raja Pahang. Ampun Tuanku. Selagi tiada polisi yang di pertegas melalui penggubalan undang-undang, maka selagi itu, alam sekitar akan terus menjadi mangsa kepada pemerintah yang tidak bertanggungjawab, seperti yang sering berlaku di negeri Pahang ini.

Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Pengerusi MPN KEADILAN & PH Pahang
Jurucakap Alam Sekitar KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up