Carian
February 17, 2021

Integriti Barisan Hadapan Tidak Boleh Dikompromi

Wanita KEADILAN Malaysia memandang serius terhadap beberapa dakwaan gangguan seksual sebagaimana yang tular di kalangan masyarakat baru-baru ini serta melibatkan beberapa dakwaan perilaku serius yang mencalarkan imej serta akauntabiliti institusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Walaupun Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya kelmarin telah mengumumkan tindakan disiplin yang drastik dengan penurunan pangkat atau dibuang kerja ke atas 11 orang  pegawai polis yang didapati cuai dalam menjalankan tugas mereka, ia masih meninggalkan beberapa persoalan penting;

(a) Apakah mereka semua terlibat secara langsung dalam dakwaan kejadian rogol tersebut?

(b) Apakah tindakan disiplin dan penurunan pangkat 11 pegawai tersebut disiasat mengikut proses undang-undang jenayah?

(c) Apakah merit kecuaian dalam menjalankan tugas setiap 11 orang pegawai tersebut adalah sama sehingga mewajarkan tindakan disiplin tanpa siasatan penuh khususnya berkaitan elemen jenayah yang terkait rapat dengan dakwaan rogol tersebut?

Kami berpendirian, siasatan yang terperinci perlu dilakukan dan laporan siasatan mesti dimaklumkan kepada awam demi memulihkan imej dan integriti PDRM. Adalah tidak tepat sekiranya hanya tindakan disiplin atau tata tertib dikenakan kepada 11 pegawai tersebut sedangkan peruntukan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak (Pindaan 2001) yang bersifat mandatori dan peruntukan-peruntukan lain di bawah Kanun Keseksaan mewajarkan mereka semua disiasat bagi jenayah-jenayah tertentu mengikut pertuduhan berdasarkan siasatan dan kesalahan mereka.

Kami menggesa YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes ini dengan mengambil kira akauntabiliti penguatkuasa undang-undang dan jaminan keselamatan serta perlindungan khususnya kepada mangsa dan keluarga mangsa.

Hajah Fuziah Salleh
Ketua Wanita KEADILAN Malaysia
Ahli Parlimen Kuantan

Related Posts
crossmenuchevron-up