
KEADILAN memandang serius dakwaan yang tular kebelakangan ini yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu, termasuk dakwaan melibatkan elemen “mafia korporat”.
KEADILAN ingin menegaskan bahawa tuduhan seumpama ini amat mudah untuk dibuat, lebih-lebih lagi oleh pihak yang tedesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku mereka sendiri. Justeru, sebarang dakwaan yang dilemparkan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apalagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.
Dalam hal ini, KEADILAN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih. Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam atau luar parti.
KEADILAN kekal komited untuk mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan yang dibangkitkan ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.
Sehubungan itu, semua pihak diseru agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan yang tidak disahkan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara.
Terima Kasih.
Dr. Fuziah Salleh
Setiausaha Agung KEADILAN
25 Mac 2026 ( Rabu )