Carian
June 4, 2021

Kongres Nasional Wanita KEADILAN Bersidang Secara Maya

1. Parti Keadilan Rakyat merupakan parti pertama yang telah bersidang secara maya apabila Kongres Nasional Wanita KEADILAN berjaya diadakan 100% atas talian. Ini
adalah penterjemahan kepada norma baharu yang amat luar biasa. Buat Parti Keadilan Rakyat, Wanita mendahului mempelopori norma baharu Kongres atas talian ini, diikuti
dengan Angkatan Muda KEADILAN pada esok hari, dan kemuncaknya ialah Kongres Nasional pada 6hb Jun nanti.

2. Kemampuan Wanita KEADILAN untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan membuktikan kekuatan dan komitmen mereka. Di Kongres Wanita hari ini, kami telah meraikan kebangkitan Wanita KEADILAN yang telah kita saksikan di seluruh negara. Malah kita turut menyaksikan wanita muda, dari kalangan Srikandi KEADILAN telah turut serta dalam arus perdana perjuangan parti. Ini bermaksud kita telah bangkit semula dan berjaya ‘reset’ sehingga kepada menyediakan barisan pelapis.

3. Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyampaikan Ucapan Perasmian, menyatakan bahawa kita mampu untuk membersihkan yang lama, dan menyusun semula dengan fikrah dan kefahaman baru. Kemudian, kita mampu pula bangkit dengan suatu azam yang lebih utuh selepas dikhianati dek langkah Sheraton. Wanita KEADILAN pada hari ini, telah membuktikan kenyataan beliau, melalui Kongres yang diadakan secara luar biasa, dalam keadaan luar biasa, bersama Perwakilan yang menunjukkan semangat yang juga amat luar biasa.

4. Kongres Wanita tahun ini berpaksikan tema yang cukup feminin namun mencerminkan harapan yang besar iaitu “Aspire to Inspire” atau Beraspirasi Untuk Menjadi Inspirasi. Perkataan aspirasi membawa makna pemilikan kepada cita-cita yang tinggi. Manakala inspirasi pula menyentuh sebahagian daripada keinginan untuk mencapai cita-cita yang tinggi untuk melakukan perubahan-perubahan, penambahbaikan secara menyeluruh dan sebaik mungkin, selanjutnya mampu menjadi inspirasi kepada yang lain di
sekeliling kita ke arah Islah atau reformasi yang sering KEADILAN kumandangkan.

5. Dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita KEADILAN, saya telah berkongsi hasrat saya untuk melihat Wanita KEADILAN menjadi satu kelompok wanita yang tidak mudah mengaku kalah, berjiwa kental dan berhati waja. Kisah pengkhianatan tidak akan bisa merencat kita. Kita perlu berkeyakinan penuh dengan apa yang kita mampu dan bakal capai, dan bangkit untuk mencapai cita-cita.

6. Ucapan Dasar saya juga menyentuh berkenaan pandamik Covid 19, dimana saya meluahkan kerisauan saya mengenai kesan pandemik Covid 19 terhadap keselematan wanit dan kanak-kanak. Saya juga merasa gusar apabila memikirkan kesan pandemik covid 19 keatas pendidikan, dan kewujudan generasi yang hilang (the Lost Generation).

7. Kesan-kesan pandemik Covid 19 sebenarnya boleh diatasi melalui perancangan yang lebih telus dan rapi oleh kerajaan. Malangnya, Malaysia sedang melalui krisis
kepimpinan negara sehinggakan kerajaan gagal menangani permasalahan rakyat. Rakyat terus menjadi mangsa akibat kepimpinan negara yang lemah, tidak kompeten dan langsung tidak empati kepada keresahan rakyat yang berpanjangan.

8. Ucapan Dasar saya pada tahun ini telah diteliti, dibahas dan diulas oleh 15 pembahas, dimana 14 pembahas mewakili negeri dan seorang pembahas mewakili Srikandi
Keadilan. Ucapan-ucapan mereka merangkumi pelbagai dasar, di antaranya adalah berkaitan dengan pendidikan, alam sekitar, keganasan berasaskan gender dan juga hal
ehwal antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada pembahas-pembahas hari ini, yang telah menyampaikan ucapan mereka dengan jelas, teliti dan penuh bersemangat
walaupun secara maya buat pertama kali.

9. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan kerja yang telah menjayakan Kongres Wanita yang fenomenal dan luar biasa ini. Tahniah kepada YB Rodziah Ismail (Pengarah Kongres Wanita), YB Nurin Aina (Setiausaha Wanita Pusat) dan pasukan mereka. Saya bangga kerana dapat menyaksikan usaha yang cukup luar
biasa untuk menjayakan Kongres yang luar biasa ini.

Tahniah dan syabas semua!

YB FUZIAH SALLEH
Ketua Wanita Pusat
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up