1.Kos haji Muassasah terakhir pada tahun 2019 yang ditanggung oleh Jamaah Haji Malaysia ialah RM 9,980. Kos sebenar adalah lebih kurang RM 22 ribu. Subsidi Haji yang ditanggung oleh TH hampir RM 12 ribu setiap individu jamaah melibatkan kos hampir RM 380 juta setahun dibiayai oleh TH.
2.Untuk pengetahuan, kos subsidi haji sejak 2009 tidak pernah dinilai semula sedangkan kenaikan kos sebenar haji meningkat setiap tahun dari RM 12 ribu tahun 2009 kepada RM 22 ribu tahun 2019. Kos dibayar oleh para Jamaah Muassasah kekal RM 9,980 sejak 2009 hingga kini.
3.Beban kepada TH menanggung subsidi haji tanpa perubahan kos yang dibayar oleh para Jamaah Haji telah dibuat kajian menyeluruh semasa zaman PH sebagai sebahagian usaha kelestarian kewangan TH. Walaubagaimanapun kabinet menetapkan kos ibadat haji dibayar oleh Jamaah Haji Muassasah dikekalkan kepada RM 9,980 melalui pelaksanaan secara berperingkat dan penjelasan konsep Istitaah untuk melakukan Haji (syarat kemampuan).
4.Pengumuman kos haji yang meningkat kepada RM 30 ribu diumumkan oleh Timbalan Menteri Agama baru-baru ini perlu diperincikan termasuk kesan kos kepada para Jamaah. Ini masanya untuk Menteri Agama bersikap telus dengan menilai semua perincian kos secara penjimatan maksimum bagi kurangkan bebanan kepada para Jamaah dan untuk menjaminkan kelestarian prestasi kewangan TH.
5.Kami menyarankan supaya subsidi haji hanya diperuntukkan kepada mereka yang layak secara bersasar dan bukan diberikan secara umum. Mekanisme yang sesuai perlu dirangkaikan secara telus untuk pengetahuan bakal para Jamaah. Tiba masanya kenaikan kos haji pasca pandemik kepada RM30 ribu seperti diumumkan dibuat penstrukturan semula secara menyeluruh dengan tidak membebankan para Jamaah yang memerlukan bantuan tetapi pada waktu yang sama mengawal bebanan kos subsidi haji yang menjejaskan kelestarian kewangan TH.
6.Semoga bakal para Jamaah Haji dipermudahkan urusan mereka dan bersikap terbuka dengan mekanisme baharu, sebagaimana orang awam juga perlu mendapat penjelasan secara bertanggungjawab rasional kos baharu haji. Kami juga menyeru supaya isu ini tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan keperluan meneliti kenaikan kos ini secara objektif dan saksama.
MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI
Jawatankuasa Agama & Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan:
YB DS Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar, AMANAH)
YB Puan Hajjah Fuziah Bt Saleh (Ahli Parlimen Kuantan, KEADILAN)
YB Tengku Zulpuri Shah bin Tengku Puji (Ahli Parlimen Raub, DAP)
Puan Hajah Raj Munni Sabu (Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN), AMANAH)
Puan Mahani Abdul Moin (Majlis Pimpinan Wanita Pusat, KEADILAN)
Puan Hjh Norashidah Hj Jaafar (Majlis Pimpinan Wanita Kelantan, KEADILAN)