Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Pahang menyanggah secara tegas dan berasa amat kecewa dengan ucapan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri. Beliau telah secara terbuka mempertikai malah merendahkan wewenang dan keupayaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah semasa baginda memegang tampuk pemerintahan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16 dalam memilih Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10 selepas Pilihanraya Umum ke 15 yang berlangsung pada tahun 2022.
Tindakan beliau mengheret institusi diraja dalam ranah politik tanah air merupakan tindakan yang tidak bermaruah dan boleh disifatkan sebagai terdesak semata-mata demi meraih undi dan cubaan untuk mengelirukan rakyat. Pembohongan ini secara tidak langsung menghina dan mempersoalkan kewibawaan institusi diraja di negara ini
yang telah berdiri kukuh sejak sekian lamanya.
Tan Sri Muhyiddin secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang boleh membawa kepada perpecahan dalam negara. Sebagai rakyat yang mendukung teguh Perlembagaan Malaysia dan telah berikrar taat setia kepada Rukun Negara seharusnya tidak mempersoalkan lagi perkara ini.
Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan , Perdana Menteri dilantik atas budi bicara KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua
Negara. Manakala, Perkara 43(2) menetapkan pula Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut. Maka dengan itu KEADILAN Pahang penuh yakin menyokong keputusan tersebut.
Kami Rakyat Pahang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan segera dan tegas ke atas Tan Sri Muhyiddin. Tindakan tegas ini diharapkan
menjadi pengajaran penting pada semua pihak agar tidak berulang.
KEADILAN Pahang akan menggerakkan jentera parti bagi membuat laporan polis terkait ucapan Tan Sri Muhyiddin supaya tiada lagi usaha yang dilakukan untuk mengganggu gugat institusi diraja serta keharmonian negara.
“DAULAT TUANKU”
YB SENATOR HAJJAH FUZIAH SALLEH
Pengerusi MPN Pahang