November 24, 2026

Hormati kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing, serta sensitiviti beragama

Saya nasihatkan YB Khoo agar menghormati kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing, serta sensitiviti beragama dalam mengulas perkara ini.
Pertama, perkara ini merupakan urusan pentadbiran negeri yang mempunyai asas perundangan melalui enakmen negeri, selaras dengan pengiktirafan terhadap bidang kuasa negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Kalau pun kita ada pendapat yang berbeza dalam menafsirkan asas kepada tertubuhnya satu undang-undang, ia tetap datang dari prinsip persetujuan majoriti;
dalam konteks Negeri Terengganu, ia adalah mandat yang diberikan rakyat negeri itu kepada Legislatif dan Eksekutif mereka untuk menggubalnya. Maka kita wajib hormati mandat tersebut seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita.
Kedua, dalam Islam, lelaki Muslim yang diwajibkan menunaikan Solat Jumaat juga dituntut untuk meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya. Kewajipan ini mempunyai sandaran nas yang jelas, antaranya melalui Surah al-Jumu’ah, ayat 9.
Justeru, perkara ini bukan sekadar amalan budaya atau adat, tetapi tuntutan agama yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ibadah.
Dalam masyarakat majoriti Muslim, pelaksanaan dasar yang bertujuan memelihara kewajipan ini juga merupakan amalan yang diterima baik dan wajar difahami dalam konteks kehidupan beragama masyarakat setempat.
Kita boleh berbeza pandangan tentang sesuatu dasar, tetapi perbahasan mengenainya mestilah berasaskan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat.
Sehubungan itu, saya memohon agar YB Khoo menarik semula kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf.
Saling menghormati mesti menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
Related Posts
crossmenuchevron-up