Pada 18hb Ogos 2021, Yang di-Pertuan Agong melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara menitahkan supaya sesiapa jua yang dilantik menjadi Perdana Menteri hendaklah membentangkan Undi Percaya di Dewan Rakyat dengan segera.
Tetapi pada hari ini Sabtu 4 September, keluar Satu kenyataan dari Peguam Negara yang bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong tersebut.
Peguam Negara dilaporkan oleh media menyatakan bahawa " undi percaya Perdana Menteri boleh jejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong".
Saya tidak bersetuju dengan pandangan Peguam Negara tersebut.
Bagi saya, kenyataan YDPA itu adalah jelas dan nyata.
Perdana Menteri ke-9, Ismail Sabri Yaakob yang telah dilantik oleh YDPA perlulah memenuhi saranan YDPA itu. Ada meritnya titah YDPA itu. Ia bermakna institusi raja berperlembagaan ingin melihat fungsi Parlimen, khususnya Dewan Rakyat diperkasakan.
Ismail Sabri Yaakob dilantik oleh YDPA atas sebab beliau memperolehi 114 sokongan ahli Dewan Rakyat secara akuan berkanun di luar Dewan Rakyat yang diteri oleh YDPA di Istana Negara. Jumlah 114 tersebut sudah memenuhi tafsiran jumlah majoriti di bawah kehendak Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Perlantikan PM ke-9 yang dibuat oleh YDPA di Istana Negara, bukannya di dalam Parlimen adalah berdasarkan kuasa budibicara YDPA di bawah Perkara 40(2).
Jadi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menghormati saranan YDPA supaya Undi Percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.
YDPA ingin berkongsi kuasa dengan Dewan Rakyat, suatu institusi kekuasaan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen yang bersumberkan kekuatannya dari mandat rakyat hasil dari proses pilihanraya di mana rakyat memilih kerajaan mereka sendiri.
Jika Saranan YDPA itu dipatuhi oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baru dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri maka satu konvensyen yang kukuh dari segi Perlembagaan dapat dibina di mana, kuasa menentukan keabsahan sesaorang Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya dilakukan di dalam Dewan Rakyat.
Kerajaan baru di bawah pimpinan PM ke-9 ini akan kelihatan kukuh dan berwibawa jika ia dapat melepasi ujian Undi Percaya apabila Sidang Parlimen bermula pada 13 September ini.
Undi Percaya ini adalah datang dari suatu usul yang dibawa oleh kerajaan yang diberi keutamaan dalam agenda Dewan rakyat di bawah Aturan 15 (1) yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.
Setakat ini tidak ada sebarang usul tidak percayaa terhadap Perdana Menteri dibawa oleh ahli-ahli parlimen pembangkang ataupun dari ahli backbancer Kerajaan. Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim telah membuat suatu kenyataan media secara terbuka iaitu blok pembangkang tidak akan mempersulitkan Undi Percaya yang akan dibawa oleh kerajaan terhadap Perdana Menteri.
Jadi beban tanggungjawab memenuhi permintaan adil dan saksama dari YDPA adalah terletak ke atas bahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Jika Ismail Sabri Yaakob telah lulus ujian pertama mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat secara Akuan Bersumpah sebaanyak 114 undi, dan suatu Kabinet atau Jemmah Menteri yang lengkap telahpun dilantik dan mengangkat sumpah, ditambah sikap positif dan bertanggungjawab Blok Pembangkang yang mahukan wujudnya keadaan politik yang stabil dan sehat, maka tidak wajar dan tidak ada alasan untuk Perdana Menteri takut dan bimbang membentangkan Usul Percaya yang permintaanya telah didekrikan oleh YDPA.
Sebaliknya jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ingkar terhadap permintaan YDPA itu maka kesannya akan merugikan Perdana Menteri yang baru ini. Keabsahannya akan terus dipersoalkan seperti nasib malang yang pernah menimpa Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin. PM ke-9 ini akan dilihat sebagai pemimpin yang takut dengan bayang-bayang sendiri jika beliau enggan membentangkan Undi Percaya terhadap dirinya.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang