Carian
September 10, 2021

3 Cadangan Utama kepada Menteri Kesihatan Sempena Lawatan Beliau ke Pulau Pinang

Saya difahamkan Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin akan melawat negeri Pulau Pinang hari esok 11 September 2021. Saya ingin mewakili warga Pulau Pinang mengalu-alukan kedatangan beliau.

Pulau Pinang sekarang berada dalam keadaan Covid-19 yang paling parah di Malaysia. Mengikut data, Pulau Pinang mencatat 145 kes/100,000 populasi dua hari yang lepas. Maka, boleh dikatakan YB Khairy telah memasuki Covid war zone.

Memandangkan Menteri Kesihatan diberikan kuasa besar di bawah undang-undang, mempunyai peruntukan berpuluh bilion ringgit dan dibantu oleh semua kakitangan Kementerian Kesihatan dari doktor pakar sehingga jururawat, YB Khairy merupakan "Covid Czar" yang mempunyai kuasa besar dan tanggungjawab berat.

Dalam keadaan yang serius ini, saya ingin mengemukakan tiga cadangan besar untuk pertimbangan Menteri Kesihatan demi rakyat Pulau Pinang yang sedang sengsara.

1. Cadangan Pertama, saya memohon supaya YB Khairy membawa 1 juta dos vaksin ke negeri Pulau Pinang pada kadar yang segera. Mengikut data JKJAV, Pulau Pinang hanya mencatat 50.3% jumlah keseluruhan populasi lengkap 2 dos. Kadar vaksinasi terjejas sepanjang bulan Ogos kerana kekurang vaksin. Beberapa PPV telah tutup.

Saya dapati apabila Sultan sesetengah negeri bertitah, Menteri dengan segera mengerahkan stok vaksin ke negeri tersebut. Jangan salah faham, saya tidak membantah, kerana ini menunjukkan tahap keperihatinan Sultan dan Menteri terhadap negeri-negeri tersebut. Saya cuma berharap Menteri boleh juga berlaku adil kepada negeri Pulau Pinang dengan mengerahkan 1 juta dos kepada Pulau Pinang dalam bulan September ini. Bantulah kami melengkapkan vaksinisasi kepada semua orang dewasa Pulau Pinang.

2. Negeri Pulau Pinang memerlukan katil ICU dan katil Kovid non-ICU yang lebih banyak. Buat masa ini, Pulau Pinang hanya mempunyai 70 katil ICU dan 830 katil bukan ICU untuk tujuan Covid. Data terkini CPRC menunjukkan Pulau Pinang telah mencatat 98.2% penggunaan katil ICU, dan katil kovid bukan ICU pada 106%. Saya ingin cadangkan penambahan 30 katil ICU dan 670 katil bukan ICU untuk tujuan Covid. Jika ini berlaku, maka Pulau Pinang akan ada 100 katil ICU dan 1500 katil bukan ICU untuk tujuan Covid.

Kekurangan katil ICU dan bukan ICU telah menyebabkan ramai pesakit Kovid terpaksa duduk di kerusi atau tidur terlantar di lantai hospital sementara menunggu kekosongan katil.

Saya ingin mencadangkan Menteri Kesihatan mengarahkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan untuk menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk merekuisisi hospital swasta atau katil-katil mereka untuk kegunaan pihak kerajaan.

Pulau Pinang mempunyai banyak hospital swasta. Katil pun banyak. Buat masa sekarang, hanya 5% katil hospital swasta sahaja digunakan untuk pesakit Kovid. Dalam keadaan peperangan kovid yang terdesak, kerajaan harus menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk merekuisisi hospital swasta atau katil-katil ICU dan bukan ICU dengan memberi pampasan yang munasabah.

Petikan dari Seksyen 26 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988:
Rekuisisi premis

26. (1) Bilamana Ketua Pengarah berpendapat adalah perlu bagi melaksanakan mana-mana peruntukan Akta ini dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, dia boleh secara bertulis memberi kuasa mana-mana pegawai diberi kuasa merekuisisi sementara mana-mana premis selama apa-apa tempoh yang difikirkan perlu oleh Ketua Pengarah.

3. Cadangan ketiga yang ingin saya kemukakan adalah untuk menangani masalah kekurangan doktor, kakitangan perubatan dalam hospital kerajaan di Pulau Pinang sekarang.

Kita faham bahawa seluruh negara kekurangan doktor dan kakitangan perubatan. Bukan senang mengerahkan mereka ke Pulau Pinang dengan kadar segera. Pulau Pinang amat bertuah, kita mempunyai ramai doktor dan pegawai perubatan di sektor swasta.

Saya ingin mencadangkan kepada Menteri secara sementara selama beberapa bulan merekuisisi doktor-doktor swasta samada dari hospital swasta atau klinik swasta ke perkhidmatan kerajaan dengan kadar segera. Mereka juga harus diberi pampasan yang munasabah.

Saya juga mencadangkan supaya pelajar-pelajar universiti tahun akhir dalam jurusan perubatan dikerah ke wad-wad biasa supaya doktor-doktor yang berpengalaman ditugaskan ke wad-wad Kovid dan bilik kecemasan. Pelajar universiti tahun akhir ini sudah cukup pengetahuan untuk menangani wad-wad biasa.

Desperate time calls for desperate measures. Saya berharap cadangan saya mendapat perhatian yang serius daripada pihak Menteri.

Sim Tze Tzin
MP Bayan Baru

Related Posts
crossmenuchevron-up