Carian
October 11, 2021

4 MP Pakatan Harapan Menyeru Pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

Pendedahan Pandora Papers yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berkaitan aktiviti sebahagian rakyat Malaysia dari latar belakang ahli politik dan perniagaan yang mungkin membawa keluar ratusan billion ringgit wang negara dan disorok di beberapa akaun persisir mencerminkan kelompongan sistem yang telah diambil kesempatan oleh individu-individu tertentu demi kepentingan peribadi.

Pendedahan oleh ICIJ merupakan salah satu contoh terbaik amalan pemberian maklumat di peringkat antarabangsa yang membongkarkan kekayaan yang berkemungkinan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dari kalangan orang kaya dan berpengaruh di dunia.

Hal ini jelas menunjukkan peranan pemberi maklumat (whistleblower) dan kepentingan amalan pemberian maklumat (whistleblowing practice) bagi mengekang perbuatan salah laku, korupsi dan rasuah yang turut diperakui oleh organisasi-organisasi antarabangsa.

Dalam konteks negara Malaysia, perbuatan pendedahan maklumat khususnya yang berkaitan dengan soal kepentingan awam sering kali berdepan dengan tentangan daripada pihak berkuasa sehingga disabitkan dengan tindakan undang-undang.

Sebagai contoh, kes-kes seperti penyelewengan dana rakyat oleh National Feedlot Corporation (NFC), Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah membongkarkan perbuatan salah laku ahli-ahli politik tertentu yang mungkin tidak akan diketahui oleh masyarakat jika tiada pemberi maklumat yang tampil untuk membuat pendedahan.

Walaubagaimanapun, individu-individu yang membuat pembongkaran tersebut terpaksa berdepan dengan saman fitnah dan juga hukuman mengikut undang-undang seperti Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya.

Selain itu, pendedahan individu seperti adik Ain Husniza berkaitan gangguan seksual yang dihadapinya di sekolah telah membuka mata masyarakat mengenai isu ‘rape culture’ yang berlaku di peringkat sekolah yang menuntut tindakan drastik daripada pihak kerajaan bagi menangani masalah tersebut. Namun, akibat pendedahan yang dibuat, adik Ain Husniza kini berdepan dengan notis saman fitnah serta turut mendapat kecaman daripada segelintir masyarakat sehingga ke hari ini.

Oleh yang demikian, National Oversight & Whistleblowers (NOW) dengan sokongan ahli Parlimen Johor Bahru, Permatang Pauh, Hulu Langat dan Bandar Kuching menuntut agar pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblowers Protecton Act 2010) dibuat bagi meningkatkan peranan pemberi maklumat dalam membentuk sebuah pentadbiran negara yang telus dan berakauntabiliti di samping menjamin hak perlindungan terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan awam.

Pindaan yang dibuat haruslah berteraskan tiga aspek utama iaitu
• Memperkasa peranan pemberi maklumat dalam melindungi kepentingan awam dengan menambah baik mekanisme pemberian maklumat. Sebagai contoh, pendedahan maklumat kepada pihak media;
• Menjamin hak perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat; dan
• Menjamin imuniti dan kebebasan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 daripadaundang-undang lain yang berkaitan seperti OSA.

Pada masa yang sama, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan pemberian maklumat, NOW telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah buku panduan dwibahasa yang bertajuk Whistleblowing Practices: A handbook guide.

Buku ini antaranya mengandungi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemberi maklumat, contohcontoh kes pemberian maklumat yang pernah berlaku di Malaysia, perbincangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA 2010) dan perbandingan dengan akta yang diguna pakai di negara-negara luar, serta yang paling utama adalah cara-cara untuk memberikan maklumat(whislteblow) dalam konteks undang-undang di Malaysia.

Buku panduan ini akan diedarkan kepada pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, organisasiorganisasi anak muda dan juga kumpulan media bagi menggerakkan usaha secara kolektif untuk menuntut perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia
b/p National Oversight and Whistleblowers (NOW) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up