Carian
September 22, 2022

5G - APAKAH INTIPATI PERJANJIAN DI ANTARA DNB DAN 4 TELCO?

Secara umum, rakyat Malaysia mengetahui, untuk pelaksanaan 5G (5th generation) - di negara ini, Kerajaan Malaysia menetapkan penggunaan kaedah Single Wholesale Network (SWN) dan mandat pelaksanaan sepenuhnya diberikan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) - syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia, yang ditubuhkan pada Mac 2021.

DNB menggunakan konsep Multi-Operator Core Network (MOCN) untuk melancarkan teknologi 5G di Malaysia, di mana DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G sebagai perkhidmatan rangkaian borong kepada syarikat - syarikat telekomunikasi lain.

Ini bermaksud DNB adalah kontraktor tunggal yang memonopoli projek ini, manakala syarikat - syarikat telekomunikasi hanya sebagai pemborong yang menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna terakhir iaitu - Rakyat Malaysia.

Di negara lain, pendekatan dan amalan adalah berbeza di mana hak membangunkan spektrum 5G dilelong kepada syarikat - syarikat telekomunikasi sekaligus mewujudkan persaingan dan menjana pendapatan kepada kerajaan.

Di Malaysia pula, kita menggunakan satu pendekatan baru iaitu SWN dan MOCN. Hakikatnya, DNB akan menjadi penerima tunggal spektrum 5G bersama dengan lesen borong.

Ringkasan: (untuk memahami perbezaan)
Pendekatan seharusnya:-
Kerajaan Malaysia Syarikat -> Syarikat Telekomunikasi -> Rakyat Malaysia.

Pendekatan Kerajaan Malaysia:-
Kerajaan Malaysia-> DNB Syarikat -> Syarikat-Telekomunikasi-> Rakyat Malaysia.

Justeru itu, disebabkan:
1. projek 5G ini akan melibatkan dana besar rakyat Malaysia (wang pembayar cukai),

2. pengguna terakhir iaitu rakyat Malaysia juga yang akan membayar untuk perkhidmatan 5G ini,

DAN

3. oleh kerana kecekapan dan kemampuan DNB sebagai kontraktor tunggal pelaksanaan 5G belum teruji dan terbukti; maka Kerajaan Malaysia dan / atau Kementerian Kewangan Malaysia dan / atau DNB WAJIB menjawab soalan - soalan berikut:-

1. Apakah model harga dan pelan akses rangkaian yang dipersetujui di antara DNB dan 4 telco (syarikat - syarikat telekomunikasi)?

2. Berapakah pegangan ekuiti di antara DNB dan 4 telco (syarikat - syarikat telekomunikasi)? Siapakah pemegang ekuiti majoriti dalam projek 5G ini?

3. Setakat mana peranan, pengaruh dan kawalan pelaburan 4 telco (syarikat - syarikat telekomunikasi) terhadap projek 5G ini?

4. Apakah DNB akan mengenakan caj atau bayaran kepada 4 telco (syarikat - syarikat telekomunikasi) untuk akses 5G atau memperuntukkan spektrum?

5. Apakah kandungan surat Tawaran Akses Rujukan / Reference Access Offer (RAO) DNB yang seharusnya telah menetapkan harga, komitmen perkhidmatan dan butiran - butiran
lain bagi model borong 5G?

Perbincangan dan perjanjian di antara DNB dan syarikat - syarikat telekomunikasi telah tertunda beberapa kali - Mei ke Jun ke Julai, dan kini September atas sebab - sebab yang hanya diketahui oleh mereka yang terlibat.

Namun begitu, menurut, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi & Multimedia, perbincangan telah sempurna dan perjanjian capaian rangkaian 5G akan dimuktamad dan ditandatangani sebelum 30 September 2022.

https://www.thevibes.com/articles/business/71983/dnb-four-telcos-expected-to-sign-5gnetwork-access-deal-by-months-end-annuar

MAKA, disebabkan terdapat pendekatan dan mekanisme yang belum teruji dan terbukti yang digunapakai oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia dan DNB, rakyat Malaysia sebagai pengguna terakhir berhak mengetahui intipati dan butiran perjanjian antara DNB dan 4 Telco (syarikat - syarikat telekomunikasi) secara terbuka dan telus.

Saya menuntut jawapan kepada soalan saya dan menggesa kerajaan Malaysia supaya telus mengenai intipati dan butiran perjanjian sebelum tandatangan antara DNB dan 4 syarikat telekomunikasi (syarikat - syarikat telekomunikasi) dimeterai.

MANIVANAN GOWIN
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPRP)
Parti Keadilan Rakyat.

Related Posts
crossmenuchevron-up