Abu Zahar Hilang Kredibiliti, Perlu Letak Jawatan

Abu Zahar Hilang Kredibiliti, Perlu Letak Jawatan

1. Kenyataan 6 anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini yang menyangkal mereka mempunyai pendirian bersama pengerusi lembaga itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berpuas hati terhadap penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM kelmarin, merumitkan keadaan.

2. Ternyata tindakan Abu Zahar membela Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berhubung kes pembelian saham menggunakan akaun beliau tidak dipersetujui oleh anggota LPPR lainnya dan merupakan pendapat peribadi Abu Zahar sendiri.

3. Imej negara diperjudikan dalam hal ini. Penilaian antarabangsa akan merudum apabila ketua sebuah suruhanjaya anti rasuah dan pengerusi lembaga penasihat suruhanjaya berkenaan cenderung ke arah salah laku yang melibatkan pertindihan kepentingan (conflict of interest) serta dikhuatiri melanggar beberapa akta dan undang undang negara.

4. Dengan kenyataan penafian 6 anggota LPPR itu, jelas mereka telah menjauhkan diri dari Abu Zahar. Pengerusi LPPR dengan ini perlu menjelaskan mengapakah beliau membela Azam Baki dan tidak mengikuti saranan anggota lain yang mencadangkan tindakan lebih rasional.

5. Sekiranya Abu Zahar tidak memberi penjelasan maka lebih baik beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi LPPR. Abu Zahar perlu bercakap benar, mengambil tanggungjawab dan mendahulukan negara berbanding kepentingan peribadinya.

6. Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula tidak punya pilihan lain bagi mengelakkan SPRM dipandang negatif oleh rakyat selain mengusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja menyiasat skandal pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM secara terperinci.

7. Tanpa siasatan bebas dan meyakinkan pelabur asing dan pemodal tempatan akan gentar untuk menanam modal di negara ini yang mana undang undang seolah olah melindungi golongan tertentu.

YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR BIN MOHD AKIN
KETUA PENERANGAN KEADILAN


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *