Carian
May 1, 2021

AMK Cadang Suruhanjaya Siasatan Diraja Siasat Campur Tangan Menteri Dalam Pasukan Polis

Negara semalam telah digemparkan dengan pendedahan angkuh dan tanpa rasa bersalah Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang secara terbuka mengakui bahawa beliau merupakan individu dalam audio yang tular di media sosial berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan polis walaupun pada 12 April 2021, beliau telah menafikan campur tangan tersebut.

Audio yang tersebar itu jelas merupakan suatu skandal besar kepada negara yang perlu diberi perhatian serius apabila pelantikan pegawai tinggi polis tidak lagi berpandukan merit yang sepatutnya, tetapi lebih kepada memilih “kroni” kepada Menteri.

Pengakuan Menteri KDN secara terang-terangan merupakan suatu penyalahgunaan kuasa serta kedudukannya sebagai Menteri dan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Walaupun beliau merupakan Pengerusi SPP, namun beliau tiada kuasa mutlak dalam membuat keputusan dan masih mempunyai limitasi yang perlu dipatuhi.

Segala keputusan terkait hal tersebut mestilah melalui proses saringan berdasarkan kriteria dipersetujui oleh SPP. Namun pendedahan dan pengakuan Menteri KDN telah mencemarkan nama baik SPP dan memberikan isyarat bahawa SPP tidak bebas dan bertindak hanya dengan telunjuk Menteri.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, ini bukanlah perkara baru kerana sejak awal Dato’ Seri Hamzah Zainudin menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi SPP, beliau telah mendesak untuk mendapatkan kuasa penuh dalam  menentukan penempatan pegawai tinggi polis.

Lebih malang, walaupun aduan oleh Ketua Polis Negara telah disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri, namun ianya seperti tidak diendahkan dan gejala sebegini masih terus berlaku tanpa ada sebarang tindakan susulan bagi mengekang budaya ini dari terus berleluasa.

Ini merupakan suatu tamparan hebat yang bukan hanya merupakan penghinaan terhadap anggota polis, bahkan merobek sistem pentadbiran negara sebegitu rupa demi memenuhi serta melindungi kehendak politik Menteri KDN dan Perikatan Nasional.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diletakkan dibawah parlimen segera diwujudkan bagi menyiasat skandal terbesar yang telah mencemarkan negara dan nama baik Polis Diraja Malaysia itu sendiri.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up