Carian
October 15, 2021

Hassan Karim Cadang SPRM Siasat Pendedahan Pandora Papers

Pagi tadi Jumaat 16 Oktober 2021 saya menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah JKRM SPRM di Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang merupakan Pengerusi JKRM.

Saya telah mencadangkan dalam mesyuarat tersebut supaya SPRM menyiasat Pendedahan di dalam Pandora Papers yang menyatakan, antara lainnya bahawa antara tahun 2004 hingga 2014 terdapat seramai 1500 orang Rakyat Malaysia yang telah menyimpan harta mereka dalam bentuk Wang, saham dan modal di pusat-pusat pesisir luar (offshore centre) seperti Singapura dan British Virgin Islands yang dianggap sebagai tax haven, yang tidak dikenakan cukai yang kesemuanya harta Rakyat Malaysia itu yang dapat lari dari radar sistem percukaian Malaysia, ditaksirkan sebanyak RM1.8 trillion atau RM1,800 bilion.Satu jumlah yang amat besar.

Saya juga mencadangkan supaya SPRM bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM),Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk dibentuk Satu Jawatankuasa Penyiasat bersama, seperti yang Kerajaan pernah buat dalam Penyiasatan terhadap skandal 1MDB.

Saya juga mencadangkan supaya SPRM dan Jawatankuasa Penyiasat bersama itu mendapatkan kerjasama Kerajaan asing seperti Singapura dan lain-lain seperti yang pernah Kerajaan buat dalam mendapatkan balik Wang Negara sebanyak lebih RM14 bilion ringgit yang diselewengkan dalam skandal 1MDB. Dalam isu Pandora Papers ini, Kerajaan juga boleh lakukan seperti apa yang dilakukan dalam isu skandal 1MDB.

Banyak wang Negara yang merupakan harta Rakyat dapat dikembalikan ke Perbendaharaan negara jika Pendedahan Pandora Papers tersebut disiasat ke akar umbi, didakwa Dan dibawa ke Mahkamah. Jalan seribu batu bermula dengan langkah pertama.

Langkah pertama ialah saya mencadangkan SPRM memulakan siasatannya.

Oleh
Hassan bin Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Dan Ahli Jawatankuasa Khas JKMR SPRM

Related Posts
crossmenuchevron-up