Carian
November 30, 2021

Integrasi Nasional: Jangan Asyik Salahkan Sekolah Vernakular

Beberapa hari lepas, sahabat lama saya, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menyebut tentang kegagalan integrasi bangsa Malaysia. Beliau mengatakan hal tersebut ketika mengulas isu sekolah vernakular, susulan soalan di Dewan Negara.

Saya melihat ia adalah isu yang sering dibangkitkan oleh UMNO, PAS – dan selalu disambut oleh BERSATU. Ketika PH menjadi kerajaan, isu-isu ini sering dijaja untuk mengundang kemarahan masyarakat Melayu.

Pemerkasaan Bahasa Melayu adalah isu yang harus kita tangani bersama. Kita harus mencari jalan yang lebih kritikal, berbanding menjadikan sekolah vernakular sebagai satu-satunya sebab berlakunya masalah ini.

Liberalisasi sekolah antarabangsa merupakan dasar yang diperkenalkan UMNO. Berapa ramai anak pimpinan UMNO dan BERSATU memilih menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa malah bersekolah di luar negara? Bagaimana pula dengan kualiti Bahasa Melayu mereka?

Ramai pelajar SJKC ada penguasaan Bahasa Melayu yang lebih baik berbanding anak-anak keluarga elitis ini. Had 40% pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa dimansuhkan menyebabkan tiada lagi had jumlah pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa. Ini bukan kerja PH, tetapi Menteri Pendidikan UMNO tahun 2012 Muhyiddin Yassin, yang kini merupakan Presiden BERSATU.

Kita harus mencari jalan untuk menjadikan Sekolah Kebangsaan menjadi lebih berkualiti dan inklusif, supaya ia mampu menarik ibu bapa. Saya percaya dengan perbincangan dan strategi yang betul, kita mampu meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan – semua ibu bapa daripada pelbagai bangsa akan menghantar anak-anak mereka ke sana.

Sebaliknya taktik lapuk bermain politik sempit perkauman bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up