Carian
June 11, 2021

Isu Minyak Masak – KEADILAN Gesa Laksana Segera Kaedah Dua Peringkat Harga

Saya menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Khairuddin Aiman Razali yang menyebut satu formula menang-menang sedang diusahakan untuk menangani isu harga minyak masak membabitkan semua pemegang taruh Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan pemain industry.

Pada masa yang sama penglibatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga amat penting sebagai autoriti yang bertanggungjawab dalam penentuan dan pengawalan harga melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Formula menang-menang harus mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh. Ini termasuklah syarikat perladangan kelapa sawit, pekebun kecil kelapa sawit, pengilang, peniaga dan pengguna. Pengguna yang terdiri rakyat terbanyak yakni 30 juta mesti diberi pemberat keutamaan yang lebih dalam usaha kerajaan merangka formula menang-menang.

Saya mengulangi gesaan agar kerajaan menimbang serius cadangan melaksanakan dua peringkat harga (2-tiered pricing). Sementara harga minyak sawit mentah terus meningkat (RM3844 pada 10 Jun 2021) dan menyaksikan ‘trend’ peningkatan berterusan, namun menimbangkan harga minyak sawit mentah untuk kegunaan domestic yang hanya 1 juta tan metrik pada harga lebih rendah masih boleh dilakukan.

Hari ini kerajaan sememangnya berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi harga di atas “threshold” bagi menetapkan harga minyak masak bersubsidi. Berdasarkan kaedah ini semua komponen kos telah diambil kira. Komponen kos ini adalah sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi. Ini termasuklah harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong, margin keuntungan peruncit dan kos pentadbiran.

Dalam melaksanakan dua peringkat harga ini saya mencadangkan kerajaan menimbangkan “range” harga domestic sekitar RM2500 hingga RM2700 per tan metrik.

Berdasarkan kaedah simulasi harga yang gunapakai oleh KPNHEP ini jika kerajaan menetapkan harga minyak sawit mentah untuk kegunaan domestic pada RM2500 misalnya, harga minyak masak 5kg boleh dijual paling mahal di pasaran pada harga RM20 sebotol setelah mengambil semua kos yang terlibat.

Sehingga langkah ini diambil saya ingin mengingatkan Menteri Khairuddin Aiman Razali bahawa harga minyak masak sekarang berada pada tahap tidak munasabah. Rakyat sesungguhnya gelisah. Saya yakin harga munasabah hanya boleh dinikmati rakyat kiranya kerajaan bersedia melaksanakan kaedah dua peringkat harga.

Sementara itu untuk mengekalkan harga minyak masak bersubsidi pada harga sekarang yakni RM2.50 sebungkus bajet subsidi RM400 juta sudah pasti tidak mencukupi. Sebagai langkah segera kerajaan boleh menambah subsidi. Pada masa yang sama aspek penguatkuasaan penting untuk mengawal ketirisan dan penyeludupan. Ini membolehkan rakyat terbanyak dapat menikmati kelegaan hasil program subsidi kerajaan.

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu

Related Posts
crossmenuchevron-up