Isu Pendidikan Yang Masih Belum Selesai Dampak Pandemik COVID-19

Isu Pendidikan Yang Masih Belum Selesai Dampak Pandemik COVID-19

1. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum tentang keputusan SPM 2020 yang telah diumumkan pada 10 Jun 2021 yang lalu. JKPPH ingin mengambil
kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat walau apapun keputusan mereka. Kegigihan murid belajar dan berusaha sepanjang pandemik melanda adalah satu kejayaan yang hakiki. Semoga mereka akan terus gigih berusaha pada masa hadapan yang lebih mencabar.

2. JKPPH ingin mengingatkan Menteri Kanan dan kedua-dua timbalannya bahawa isu-isu pendidikan sewaktu pandemik dan sewaktu PdPR dijalankan jauh daripada selesai. Malah apa yang lebih mencabar lagi ialah pendidikan pasca-pandemik COVID-19 yang rakyat perlukan.

Kita menanti satu pelan besar (master plan) dan perancangan jangkamasa panjang untuk pendidikan selepas pandemik berakhir. Jika dilihat kepada perkongsian negara-negara anggota UNESCO pada mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran UNESCO pada 29 Mac 2021, pelbagai pendekatan luar kotak telah digunakan hatta oleh negara-negara dunia ketiga.

3. Sehingga kini, banyak isu yang ditimbulkan kepada KPM, tetapi tidak pernah mendapat respon dan jawapan. Malah, Menteri Kanan dan kedua-dua timbalannya seakan-akan
mengetepikan suara rakyat, suara para guru, ibu bapa, kesatuan guru dan masyarakat amnya.

4. KPM perlu berkongsi data murid cicir, iaitu murid yang masih lagi tidak boleh membaca dan menulis kerana kehilangan lebih 100 hari persekolahan pada tahun lepas, dan ditambah lagi pada tahun ini. KPM perlu menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan juga memulihkan murid-murid cicir ini. KPM juga perlu telus dengan data keberkesanan PdPR dengan menyatakan peratus kehadiran murid di dalam kelas-kelas PdPR, dan juga kehadiran sewaktu sekolah dibuka sementara sebelum PKP3.0. Ini semua demi kebaikan bersama.

Langkah penambahbaikan PdPR setelah setahun dijalankan amat perlu, sumbangsaran dari pelbagai pihak yang terlibat amat diperlukan. Kerajaan tidak boleh lagi berlagak dengan sikap Kerajaan lebih mengetahui yang terbaik lagi. Usaha kolaboratif diperlukan untuk memastikan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak nusa.

5. JKPPH ingin menekankan bahawa prinsip ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’ dan ‘Pendidikan Adalah Tanggungjawab Bersama’ tidak boleh digadaikan. Di kala kita menghadapi saat getir sekarang ini, KPM perlu menjadi pemudah cara untuk menggembleng tenaga semua untuk rakyat bangkit seiring senada bersama membangunkan pendidikan negara. Selain dari para guru, ibu bapa yang secara tidak langsung menjadi guru di rumah tatkala PdPR berlangsung memerlukan bimbingan, bahan sokongan dan juga panduan untuk membimbing anak-anak. Hal ini juga perlu diberikan perhatian. Di beberapa negara luar seperti yang dilaporkan oleh UNESCO, mereka menyediakan saluran khusus dan program-program penerangan di media untuk membimbing ibu bapa bagi tujuan Pendidikan anak-anak.

6. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa agar:

a) KPM berkongsi data murid cicir serta menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan langkah-langkah pemulihan.

b) KPM perlu juga berkongsi data keberkesanan PdPR dan membentang pelan penambahbaikan demi kelangsungan pendidikan murid-murid di seluruh negara.

c) KPM seharusnya mewujudkan satu laman web rujukan yang khusus (one stop center) kepada para guru dengan memuatkan bahan pengajaran, modul dan latihan yang boleh
digunakan untuk PdPR.

d) Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pakar, professional, ahli akademik dan wakil daripada para guru dan persatuan ibu bapa untuk merangka pelan bersepadu pendidikan pasca COVID-19. Hal ini telah berkali-kali dibawa oleh pelbagai pihak namun dipandang sepi oleh kerajaan.

e) Pihak kerajaan menggembleng tenaga di antara KPM, KKMM dan agensi-agensi lain untuk memperbanyakkan lagi siaraya, mesej video tular dan rancangan di televisyen untuk membimbing ibu bapa bagi membantu anak-anak sepanjang PdPR berlangsung.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Teo Nie Ching, Democratic Action Party (DAP)
YB Natrah binti Ismail, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Steven Sim Chee Keong, Democratic Action Party (DAP)
YB Rusnah Aluai, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *