Carian
August 21, 2022

KADAR PENGANGGURAN TINGGI : MASA DEPAN ANAK MUDA DIKESAMPINGKAN

1. Saya mengambil maklum terkait laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang baru dikemaskini pada bulan Jun 2022 menunjukkan kadar pengangguran anak muda Malaysia yang berumur 15 hingga 24 tahun telah mencecah 15.6% berbanding tahun 2021.

2. Kadar penggangguran ini malah telah memecahkan rekod rekod tertinggi sejak tahun 1991, jika dibandingkan dengan negara jiran kita Indonesia, Thailand dan Singapura dengan peningkatan penggangguran dalam 3 tahun ini adalah sangat drastik dan mendadak.

3. Anak muda kini menghadapi situasi yang sukar melihatkan kepada prospek masa depan pekerjaan tetap yang terjejas teruk dan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk "wang segera" melalui sektor ekonomi gig yang tidak mampan disebabkan kekurangan peluang pekerjaan yang bermaruah.

4. Kita harus menerima realiti yang sebenar bahawa pekerjaan ekonomi gig yang didominasi golongan anak muda sekarang bukan satu penyelesaian yang baik apatah lagi sebagai pekerjaan bagi jangka masa panjang. Hal ini demikian kerana pekerja ekonomi gig yang tidak memerlukan kemahiran tinggi menyebabkan pekerjaan mereka mudah diganti disebabkan faktor yang pelbagai termasuklah dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan buruh pekerja yang lebih murah.

5. Ekonomi gig hakikatnya merupakan hanya penyelesaian jangka masa pendek bagi menjana pendapatan tambahan kalangan anak muda manakala kerajaan harus melatih anak muda dengan giat supaya mereka dapat menguasai kemahiran yang mampu menjana lebih banyak pendapatan dan tidak mudah diganti.

6. Pertubuhan Buruh Antarabangsa juga memberi amaran bahawa anak muda sedang berada dalam krisis pekerjaaan disebabkan keperluan tenaga buruh atau pekerjaan yang ditawarkan tidak sejajar dengan minat golongan muda disebabkan oleh kerajaan pusat yang lebih menumpukan peluang pekerjaan berkemahiran rendah.

7. Kekurangan peluang pekerjaaan yang berkualiti bagi graduan yang mempunyai kemahiran sederhana dan tinggi akan menyebabkan anak muda kita terpaksa bersaing dengan pekerja buruh asing yang bergaji rendah dan secara tidak langsung menyebabkan produktiviti dan inovasi buruh negara merundum dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia turut menurun.

8. Kerajaan harus mengambil serius dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk membantu industri pekerjaan menjalani transformasi supaya industri negara kita secara pantas bertukar pergantungan kepada teknologi baru, meningkatkan produktiviti lantas mampu menawarkan peluang pekerjaan yang menarik dan bernilai tinggi kepada golongan anak muda.

9. Selain isu pengganguran anak muda, kini kita juga sedar bahawa sebilangan lepasan pelajar SPM memilih untuk tidak menyambung pengajian, lantas kerajaan seharusnya mengambil tindakan drastik dan strategik untuk menyelesaikan masalah ini sebelum ia membawa malapetaka kepada masa depan negara kita.

Chua Wei Kiat
ADUN Rawang
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up