Carian
March 2, 2021

KEADILAN Johor Mohon Maaf Kepada Pengundi Parlimen Tebrau

KEADILAN Johor memandang serius tindakan keluar parti oleh dua orang Ahli Parlimen KEADILAN baru-baru ini, terutamanya Ahli Parlimen Tebrau. Beliau yang juga merupakan Ketua Cabang Tebrau telah dipecat serta merta sebagai anggota KEADILAN sebagaimana telah disahkan oleh Setiausaha Agung parti.

Bagi pihak KEADILAN Negeri Johor, saya ingin memohon maaf kepada para pengundi di Parlimen Tebrau di atas sikap Ahli Parlimen yang telah membuat tindakan keluar parti dan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional.

Kami akan bermuhasabah dan berbincang agar khidmat dan isu rakyat di Parlimen Tebrau dapat kekal dibela. Cabang Tebrau akan disusun semula berlandaskan peruntukan Perlembagaan Parti bagi memastikan keutuhan dan pentadbiran yang mantap di peringkat Cabang.

Jentera KEADILAN di Tebrau akan digerakkan bagi melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, membantu dalam menyelesaikan isu terkait wabak Covid-19 dan kesulitan ekonomi rakyat, serta bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak wajar dilakukan atas apa jua alasan. Memperoleh sokongan Ahli-ahli Parlimen melalui ancaman, tawaran jawatan dan habuan sementara memegang tampuk kuasa, lebih-lebih lagi wajar dikecam. Malah ia boleh dianggap satu bentuk rasuah. Rasuah politik yang wajib ditolak oleh rakyat.

Ternyata dalam keadaan sidang parlimen digantung dan negara masih berhadapan dengan wabak Covid-19 dan ekonomi yang merudum, darurat diambil kesempatan oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk mengekalkan kuasa dan terus berpolitik.
Tuanku Agong telah menitahkan bahawa sidang parlimen boleh bersidang ketika darurat tetapi sehingga hari ini Perdana Menteri dan kerajaan masih berdiam diri serta tidak memberi sebarang reaksi. Apa yang disebutkan dalam Amanat Perdana Menteri semalam hanyalah bahawa beliau akan menasihati Tuanku Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihanraya boleh diadakan apabila masalah Covid-19 dapat diatasi. Mengapa parlimen tidak boleh bersidang sebelum itu?

Sidang Parlimen tidak wajar ditangguhkan lagi dan perlu bersidang dengan kadar segera bagi memastikan semak dan imbang berlaku di dalam pentadbiran negara sekarang.

Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi KEADILAN Negeri Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up