Carian
October 26, 2022

KEADILAN KEMUKA TOKOH PELBAGAI BIDANG DAN LATAR BELAKANG SEBAGAI CALON-CALON BARU

KEADILAN memandang tinggi harapan dan kehendak rakyat supaya parti-parti politik menampilkan gabungan calon-calon dari pelbagai latar belakang yang berwibawa. 

Cabaran menguruskan negara (sebahagian besarnya akibat dari masalah-masalah yang diwariskan oleh UMNO/BN) yang semakin rumit memerlukan kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang, agar ahli parlimen dan jemaah menteri berupaya memegang amanah dengan kompeten. 

KEADILAN sedar bahawa pengundi-pengundi tidak lagi menilai parti semata-mata tetapi menitikberatkan juga keterampilan calon dari pelbagai latar belakang dan kepakaran. 

Kami mengalu-alukan dan berterima kasih atas sambutan orang ramai yang tampil menawarkan diri untuk bertanding bersama-sama KEADILAN kali ini. 

Saya berbesar hati memperkenalkan enam orang tokoh dari pelbagai latar belakang dan bidang yang telah tampil menyahut cabaran KEADILAN untuk menawarkan khidmat kepada rakyat dalam PRU15 ini. 

DA TO’ ZAINAL AZMAN ABU SEMAN 

Dato’ Zainal Azman Abu Seman adalah mantan pegawai kanan perkhidmatan awam. 

Antara jawatan-jawatan kanan yang pernah disandang adalah Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Agrotani dan Setiausaha (SUK) Kerajaan Negeri Perak.

Beliau adalah lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ijazah lanjutan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). 

Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dalam pelbagai agensi kerajaan, selain dari menghadiri pelbagai kursus profesional di University of Columbia, National University of Singapore (NUS) dan pelbagai universiti antarabangsa yang lain. 

Beliau akan bertanding di Perak. 

DATUK DR HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN 

Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia. 

Latar belakang pendidikan dalam Bahasa Arab dan berkelulusan Sarjana Muda (kepujian) Universiti Kuwait (1987); Sarjana (Kesusasteraan) Universiti St Andrews, Scotland (1992); dan mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland (2000). 

Datuk Dr Hassan mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia akademik termasuk sebagai pensyarah di Universiti Malaya (1987-2011) sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia, Cairo University Mesir (2007-2001). 

Beliau juga berkhidmat sebagai profesor di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim seterusnya dilantik Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Jawatan terakhir ialah sebagai Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau akan bertanding di Pahang. 

DR. NORAISHAH MYDIN BINTI HAJI ABDUL AZIZ 

Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya merupakan seorang tokoh profesional berkelainan upaya yang menjadi aktivis pesakit-pesakit spina bifida. 

Beliau yang menghidap spina bifida sejak kecil mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dari UKM. Selepas lulus Sarjana dalam bidang genetik, Dr Noraisah melanjutkan pelajaran di University of London di peringkat Doktor Falsafah dalm bidang biokteknologi perubatan (pengkhususan developmental neurobiology). 

Kehadiran beliau di pentas politik pilihanraya menjadi lambang iltizam KEADILAN untuk mengangkat sumbangan golongan kelainan upaya dalam masyarakat. 

Beliau akan bertanding di Wilayah Persekutuan. 

USTAZ NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ 

Ustaz Nik Omar adalah nama yang tidak asing lagi di pentas ilmuwan agama nasional. 

Beliau merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan yang juga bekas Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Beliau juga merupakan bekas Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. 

Ustaz Nik Omar adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang usuluddin hadith. Seterusnya beliau melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang syariah. Beliau kini adalah calon doktor falsafah di Universiti Pattani, Thailand. 

Beliau akan bertanding di Perak. 

SAIPOLYAZAN YUSOP 

Saipolyazan Yusop adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor. Beliau kini adalah pengurusan kanan UEM Edgenta Berhad sebagai Country Head (Saudi). 

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat selama 30 tahun, termasuk sebagai Head of Aset and Facilities Management (Bin Laden Group/Alborj Internasional), Head of Planning and Development (Celcom Axiata Berhad) dan pernah bertugas di PETRONAS. 

Beliau mempunyai ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrikal dan elektronik dari Universiti Teknologi Malaysia. 

Beliau akan bertanding di Selangor. 

JUFITRI JOHA 

Jufitri Joha adalah bekas presiden Majlis Belia Malaysia. 

Beliau yang berkelulusan ijazah sarjana dari University of Durham, UK aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan sejak dua dekad yang lepas. Selain penglibatan di dalam Majlis Belia Malaysia, beliau juga merupakan mantan Naib Presiden ABIM dan ahli lembaga Commonwealth Alliance of Youth Work Association (CAYWA). 

Beliau juga adalah perunding pendidikan. Jufitri akan bertanding di Negeri Sembilan. 

FATHIN AMELINA FAZLIE 

Fathin yang berusia 28 tahun adalah salah seorang calon muda dari kalangan siswa yang diketengahkan dalam PRU15. 

Beliau kini adalah calon doktor falsafah di Universiti Malaya. Bidang kajian beliau adalah rangka pentadbiran berkenaan isu-isu pendatang tanpa izin di Sabah. 

Fathin mendapat ijazah ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana ekonomi di Universiti Malaya. 

Fathin akan bertanding di Perlis. 

ANWAR IBRAHIM 

Related Posts
crossmenuchevron-up