Carian
February 22, 2021

KEADILAN Minta Kerajaan Jelas Sama Ada Amanah Ikhtiar Malaysia Bakal Dikorporatkan

Kerajaan diminta jelaskan sama ada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bakal dikorporatkan,pihak ketiga akan miliki ekuiti dalam AIM.

Kerajaan diminta mengesahkan sama ada benar Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu sebagai sayap untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia melalui pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin di luar bandar, akan dikorporatkan dengan pihak swasta diberi ruang untuk memiliki ekuiti dalam AIM.

Jika benar AIM diperbadankan adalah dikhuatiri bahawa matlamat asal kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan akan gagal dan tidak akan tercapai, lebih-lebih lagi dalam
keadaan negara sedang dihimpit oleh pandemik COVID-19.

Difahamkan langkah perbadanan AIM ini disusuli dengan penyelesaian hutang atau pinjaman AIM daripada kerajaan pusat yang akan dibayar oleh pihak ketiga iaitu sebuah syarikat swasta.

Saya khuatir langkah ini akan menggugat matlamat asal penubuhan AIM selain menjejaskan masa depan kakitangan yang sedang berkhidmat di AIM.

Jika benar AIM hendak dikorporatkan dengan ekuiti turut dikuasai oleh syarikat swasta yang tiada kaitan langsung dengan usaha pembasmian kemiskinan, kerajaan wajar membatalkan rancangan pengkorporatan itu, yang sudah pasti tidak akan memanfaatkan rakyat terutama golongan miskin.

Kita tidak mahu kes-kes masa lalu program pengkorporatan yang membebankan rakyat miskin dan tidak berkemampuan berulang. Kesilapan masa tidak harus diulang. Kerajaan
perlu mencari usaha lain untuk menyelamatkan AIM jika benar-benar AIM berhadapan dengan aliran wang tunai atau masalah kewangan.

YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up