Carian
September 10, 2020

KEADILAN Tampil Calon Berpengalaman Untuk PRN Sabah

KENYATAAN MEDIA

KEADILAN TAMPIL GANDINGAN CALON BERPENGALAMAN DAN BAHARU, PELBAGAI KAUM DAN BERWIBAWA UNTUK PRN SABAH

KEADILAN adalah sebuah parti pelbagai kaum nasional. Perlembagaan Parti mengiktiraf kedudukan istimewa wilayah Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selaras Perjanjian Malaysia 1963.

Kehadiran KEADILAN di Sabah bukan perkara baru. Pada pilihan raya sulung yang disertai parti pada 1999, KEADILAN sudahpun bertanding 3 kerusi Parlimen di Sabah.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, KEADILAN menang 1 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN. Dalam Pilihan Raya Umum 2018, KEADILAN menang 3 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN.

Walaupun parti pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan, khususnya WARISAN, KEADILAN hanya bertanding 6 kerusi Parlimen dan 8 DUN pada 2018.

Keanggotaan KEADILAN Sabah telah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

Atas sebab itu, parti kali ini ingin meletakkan 14 orang calon DUN, satu peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.

Dua rundingan terakhir KEADILAN-WARISAN telah melibatkan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dan pimpinan tertinggi KEADILAN.

Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, KEADILAN juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina. KEADILAN juga ingin mempunyai calon di segenap pelusuk Sabah.

Kali ini, KEADILAN melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon-calon yang berwibawa, termasuk muka-muka baharu anak muda dan wanita.

Ini komitmen KEADILAN untuk mengembalikan mandat rakyat kepada Kerajaan Negeri yang diterajui WARISAN, Pakatan Harapan dan UPKO pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dalam Pilihan Raya Negeri 2020.

Senarai kerusi-kerusi yang ditandingi KEADILAN dalam PRN Sabah 2020.

1. N. 20 Api-Api
2. N. 18 Inanam
3. N. 09 Tempasuk
4. N. 14 Tamparuli
5. N. 05 Matunggong
6. N. 32 Klias
7. N. 45 Sook
8. N. 43 Kemabong
9. N. 61 Segama
10. N. 27 Limbahau
11. N. 51 Sg Manila
12. N. 31 Membakut
13. N. 08 Pintasan
14. N. 23 Petagas

Bertarikh pada 09hb September 2020 (Rabu).

Simsudin Bin Sidek
Ketua Penerangan MPN PKR Sabah.

Related Posts
crossmenuchevron-up