Kedangkalan Sebuah Manipulasi Politik Meracuni Aspirasi Pendidikan

Kedangkalan Sebuah Manipulasi Politik Meracuni Aspirasi Pendidikan

Saya tidak dapat tidak menahan dari melontarkan suatu pandangan kesedaran terhadap sebuah gambar yang tular berkaitan majlis yang diadakan baru-baru ini, bertema Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Pelajar Ke Universiti Utara Malaysia.

Sekali imbas tiada apa salahnya judul majlis tersebut namun apabila melihat ianya dianjurkan oleh sebuah parti politik dan diadakan di premis utama parti politik tersebut, nurani saya telah mengemukakan satu soalan jujur; apa kaitan parti politik dengan surat tawaran ke universiti? Secara spesifiknya, majlis ini telah diadakan pada 7 Oktober 2021, bertempat di Dewan UMNO Bahagian Sik dan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Sik, Dato’ Haji Mohd Tajudin Abdullah.

Hambatan pemikiran terbelenggu berbentuk feudal ini harus disemadikan dengan segera. Peluang pendidikan dan tawaran melanjutkan pelajaran adalah nikmat dan peluang untuk setiap rakyat. Pendidikan adalah keperluan asas yang menjadi tanggungjawab kepada setiap kerajaan di dunia ini, dan ini tidaklah bermakna parti yang berada di dalam kerajaan boleh pula memperlihatkan seolah-olah partinya yang mendahului kerajaan atau badan autoriti seperti Kementerian atau Pejabat Pendidikan.

Apa natijahnya menyampaikan surat tawaran secara rasmi menerusi parti politik jika bukan untuk menanamkan suatu pemikiran usang bersifat penjajahan minda atau “feudalistic state of mind” terhadap masyarakat, keluarga, ibu bapa, dan bakal pelajar-pelajar, bahawasanya parti ini atau parti itulah yang mencipta dan memberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Walhal kejayaan ke universiti merupakan hasil usaha bersungguh-sungguh dan ketekunan pelajar-pelajar itu sendiri sewaktu di sekolah menengah mahupun di pusat matrikulasi.

Berjaya atau tidak berjaya masuk ke universiti tiada kaitan dengan parti politik dan janganlah ada pemikiran seperti ini terpahat dalam minda masyarakat kita. Jika benar ingin mendukungi aspirasi pendidikan menerusi platform parti politik atau menerusi ahli politik perseorangan, maka lebih sesuai jika judul majlis tersebut diubah kepada “Majlis Meraikan Bakal-akal Pelajar UUM”. Bukankah lebih afdhal dan “political mileage” pun dapat.

Memetik kata-kata seorang tokoh pemikir pendidikan tersohor dunia, Paulo Freire, “manipulasi adalah seperti penaklukan untuk tujuan yang dilayaninya, dan mencuba membius manusia sehingga mereka tidak dapat berfikir.”

Fikir dan renunglah hal ini dengan keterbukaan minda dan kerendahan jiwa. Semoga perkara sebegini tidak terus berlaku tanpa mengira parti manapun yang sedang atau kelak bakal menjadi komponen dalam kerajaan.

MOHAMMED FIRDAUS JOHARI
Ketua AMK Kedah


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *