KERAJAAN CARETAKER TIDAK BOLEH MEMBUAT ANUGERAH TENDER

KERAJAAN CARETAKER TIDAK BOLEH MEMBUAT ANUGERAH TENDER

Dalam kesibukan kempen PRU15, rakyat mungkin tidak sedar bahawa kita berdepan dengan satu risiko besar projek-projek bernilai berbilion ringgit diluluskan dan dianugerahkan secara cepat dalam tempoh kerajaan peralihan (atau “caretaker government”). 

Sejak beberapa minggu lalu, saya telah dimaklumkan bahawa ada usaha untuk meluluskan projek-projek bernilai bilion ringgit dengan segera tanpa mengikut prosedur Perbendaharaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. 

Maklumat yang saya perolehi setakat ini menunjukkan ada satu projek yang kini sedang diusahakan untuk diberi kelulusan segera secara rundingan terus walaupun dalam tempoh “caretaker government”. 

Saya sertakan Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan bertarikh 18 Oktober 2022 mengenai pelaksanaan perolehan kerajaan semasa fungsi “caretaker government”. Perenggan 3 pekeliling tersebut dengan secara jelas menghalang sebarang komitmen kontraktual atau aku janji, termasuk rundingan atau aku janji baru yang boleh membebankan kerajaan persekutuan yang baru. 

Satu risiko kewangan yang paling besar dihadapi oleh rakyat di musim pilihanraya ialah apabila parti-parti politik yang berkuasa perlu mengumpul dana sebagai persediaan pilihanraya. 

Kebiasaannya, sumbangan-sumbangan dari syarikat-syarikat dikumpul terlebih dahulu dengan janji sumbangan mereka akan diganti dengan projek-projek kerajaan apabila parti itu kembali berkuasa. 

Sebab itu, selepas PRU14 yang lepas, pihak berkuasa menjumpai wang tunai beratus juta ringgit dalam bentuk sumbangan politik kepada UMNO semasa serbuan dibuat ke atas premis yang digunakan Najib Razak. 

Saya dimaklumkan bahawa di beberapa kementerian kebelakangan ini, ada tekanan yang kuat supaya menteri-menteri meluluskan projek-projek secara rundingan terus kepada beberapa kroni. 

Satu kes yang dibawa kepada saya ialah yang melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di bawah menterinya Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Kementerian ini bertanggungjawab menyelia Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mempunyai kontrak- kontrak infrastruktur besar. 

Semakan saya menunjukkan ada dua projek yang dikendalikan kementerian ini yang melibatkan satu syarikat kroni yang rapat dengan pimpinan UMNO. 

Saya boleh mendedahkan bahawa kementerian yang dipimpin Timbalan Presiden PAS ini telah pun menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkubumi Sdn Bhd untuk kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa. Projek ini diumumkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri (rujuk https://www.melakahariini.my/peruntukan– rm600-juta-bina-kolam-dwi-fungsi-krubong-pm/) 

Program Jana Wibawa adalah projek-projek yang melibatkan peruntukan besar yang bermula sejak zaman Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputra tertentu dengan penuh kerahsiaan, terutamanya kerana ia melibatkan tempoh masa semasa kerajaan mengisytiharkan darurat akibat PKP. 

Saya akan menyentuh dengan lebih panjang mengenai program Jana Wibawa ini dalam sidang media yang akan datang. 

Untuk hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd. 

Projek bernilai RM2 bilion ini adalah untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2. 

Semakan saya terhadap Mangkubumi Sdn Bhd menunjukkan perkara-perkara berikut: 

  1. Syarikat ini tidak memfailkan penyata kewangan diaudit kerana memilih status sebagai “exempt company” (iaitu dikecualikan dari memfailkan penyata kewangan dengan pihak berkuasa)
  2. Syarikat ini telah pun ada dua kes petisyen muflis di mahkamah kerana tidak membayar hutang kepada kontraktor seperti rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  3. Syarikat ini berhutang sebanyak RM144 juta dengan institusi kewangan mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Semakan lanjut mengenai pemilik Mangkubumi Sdn Bhd iaitu Tan Sri Zainuddin Karjan menunjukkan dia adalah seorang tokoh yang rapat dengan UMNO dan telah mendapat laba yang berterusan dari projek-projek kerajaan seperti berikut: 

▪ Zainuddin Karjan adalah Penasihat Kelab Putra 1Malaysia yang ditubuhkan oleh Dato’ Seri Azeez Rahim, ahli parlimen Baling dan pemimpin UMNO (semak https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2014/10/4160/80-terima-darjah-kebesaran) 

▪  Hubungan rapat Zainudin Karjan dengan Kelab Putra 1Malaysia boleh dilihat sendiri di laman Facebook https://www.facebook.com/profile.php?id=100076852693943

▪  Mangkubumi adalah penerima projek-projek besar negara berjumlah berbilion ringgit sebelum ini seperti yang dilaporkan dalam tahun 2016 (rujuk https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/2643/2016/11/213578/projek-rm2- bilion-beri-manfaat-hampir-1-juta-penduduk )

▪  Mangkubumi Sdn Bhd telah disiasat dan dinamakan sebagai salah satu syarikat yang memindahkan wang kepada Azeez Rahim dalam tuduhan kes rasuah dan penggubahan wang haram sebanyak RM139 juta. Kes itu didakwa di mahkamah dalam tahun 2019, seperti laporan berikut https://www.malaysiakini.com/news/460412

Maka, maklumat bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus semasa fungsi “caretaker government” adalah satu perkara yang perlu dijawab segera oleh menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Jika benar perkara ini tidak akan diteruskan, sewajarnya Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan terbuka bahawa projek ini tidak akan dianugerahkan secara rundingan terus dan sebarang keputusan hendaklah dibuat oleh kerajaan yang baru. 

RAFIZI RAMLI 


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *