Carian
July 29, 2022

Kesal Kenyataan Separuh Masuk BNM Mengenai Kes Penipuan Dalam Talian

Saya amat kecewa dengan kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkenaan isu penipuan atas talian dalam Persidangan Penipuan Kewangan dan Tajaan Terrorisme baru-baru ini. BNM seharusnya menyatakan pendirian yang jelas dan tegas tentang peranan bank-bank komersil untuk menanggung sebahagian tanggungjawab dalam kes penipuan dalam talian, dan bukan sekadar membuat kenyataan yang separuh masak.

Sebagai badan penyeliaan dan pengawalan tertinggi kepada institusi kewangan, BNM sedar akan kerugian sebanyak RM2.23 bilion dalam jenayah atas talian (cybercrime) dari tahun 2017 hingga Julai 2021. Namun saya kesal ianya mengambil masa lima tahun untuk BNM betul-betul menyedari betapa kritikal isu ini dalam menjejaskan dan memusnahkan kehidupan puluhan ribu rakyat kita.

Kumpulan Sokongan Mangsa-Mangsa Penipuan Kewangan Online yang saya memberikan khidmat nasihat menerima perkongsian kes-kes daripada rakyat hampir setiap hari. Jumlah kerugian tercatat daripada anggota kumpulan ini sudah mencecah RM2 juta. Terdapat mangsa yang hilang kesemua simpanan seumur hidup mereka, sehinggakan ada yang mengalami masalah kemurungan.

Maka sewajarnya Nor Shamsiah menyatakan pendirian yang tegas dan bukan sekadar memerlukan bank untuk mengubah penghantaran (OTP) melalui (SMS) kepada kaedah pengesahan pelbagai faktor yang lebih selamat sahaja. BNM sepatutnya menempatkan bank-bank komersil di satu tempat yang lebih adil kepada pengguna dan pencarum. Wajbkan bank-bank komersil merangka kod industri supaya mereka wajib memberikan pampasan yang sewajarnya kepada mangsa-mangsa tersebut. Jikalau Bank OCBC Singapura di bawah penyeliaan Money Authority of Singapore (MAS) boleh membayar ganti rugi “kemurahan hati” sebanyak RM44.4 juta kepada 790 pelanggan mereka yang dijadikan mangsa, mengapa tidak Malaysia?

Saya juga kurang bersetuju dengan kenyaatan Nor Shamsiah yang hanya menyeru mangsa melaporkan kepada bank dan polis sahaja. Sangat jauhnya tanggapan pihak atasan berbanding dengan apa yang berlaku di bawah. Situasi sekarang adalah kebanyakan mangsa-mangsa dijadikan bola tendangan antara agensi PDRM dan bank, dan ramai telah hilang keyakinan terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan untuk bertindak. Adakah BNM bersedia mengumumkan bilangan mangsa berjaya mendapatkan semula wang tersebut daripada RM2.23 bilion kerugian tersebut? Berapakah orang dalaman bank-bank komersil yang berjaya didakwa dan dihadap ke mahkamah?

Atas jumlah mangsa yang bertambah setiap hari dan kesemua kekecewaan yang ada, saya berpendapat bahawa hanya BNM yang berani mempertanggungjawabkan bank-bank komersil dapat mengatasi kemelut ini. Ini juga merupakan pegangan dan kepercayaan pihak kumpulan sokongan yang menghantar memorandum kepada ahli-ahli parlimen dan Kementerian Kewangan pada 26 Julai lepas. Saya menggesa BNM di bawah pimpinan Nor Shamsiah segera bertindak.

Rujukan ucapan BNM: https://www.bnm.gov.my/-/g-speech-ifctf

Lee Chean Chung
Ahli MPP KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up