Carian
March 29, 2021

Keuntungan Bank Boleh Tampung Naik Gaji, Kenapa Tidak Beri Moratorium Pinjaman

Laporan terkait jumlah pendapatan Ketua-ketua pegawai eksekutif bank, termasuk di Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang menerima bonus dan elaun lumayan pada tahun lalu cukup merungsingkan.

Tahun lalu kita menuntut agar moratorium pinjaman bank dilanjutkan bagi mendukung warga dan perniagaan yang terkesan akibat dampak COVID-19. Namun, kita dimomokkan pula kononnya sektor perbankan akan punah, dan pendekatan moratorium berpotensi untuk meruntuhkan sistem kewangan negara.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Kewangan yang juga bekas pegawai tertinggi sebuah bank di negara ini yang memperoleh pendapatan RM8.53 juta pada tahun 2019 memilih untuk menyokong pendekatan bantuan secara bersasar, dan ia secara tidak langsung menggambarkan betapa kerajaan ini bersama dengan bank.

Langkah tersebut secara tidak langsung menyulitkan sebilangan keluarga dan perniagaan yang tidak punya keupayaan untuk memenuhi prosedur bank yang berselirat dalam tempoh yang singkat.

Kita juga masih belum mengetahui sejauh mana dampak negatif pendekatan ini mengesankan ekonomi, sektor pekerjaan dan tahap kehidupan rakyat yang susah dan melarat.
Kita kini dikejutkan pula dengan laporan bahawa sektor bank sedang mempergiatkan usaha untuk mencipta keuntungan pada tahun ini dan telah pun menaikkan gaji para pegawai kanan mereka setinggi 58%. Ketua Pegawai Eksekutif sekurang-kurangnya satu GLIC telah mendapat kenaikan gaji sebanyak 10%.

Perniagaan berkembang pesat saat ini sementara sebahagian besar negara terus bertarung dengan kesan berterusan akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan. Kita tidak menentang soal mencipta keuntungan. Namun, kita mencurigai cara segelintir pihak mencipta keuntungan sambil mengorbankan golongan rakyat yang lemah dan susah.
Saya membangkitkan beberapa persoalan:

Sekiranya keuntungan sektor bank pada tahun 2020 mampu mendukung kenaikan pegawai-pegawai tinggi mereka sebanyak 10%, apakah pegawai-pegawai rendah turut menikmati kenaikan gaji yang munasabah?

Di tahap mana keuntungan bank pada tahun 2020 dilihat mampu untuk menampung jumlah kenaikan gaji, bonus dan dividen pemegang saham, tetapi tidak berupaya untuk memberi moratorium pinjaman berterusan untuk keluarga yang sedang bergelut dengan dampak wabak?

Apa yang paling menyedihkan adalah pemerintah menggesa agar seluruh lapisan masyarakat berpadu dan bersama dalam memampan dampak wabak, tetapi golongan korporat dan para eksekutif seolah tidak ikut serta dan dikecualikan dari tanggungjawab ini.

Realitinya hari ini kerajaan PN tahu bahawa sebilangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang susah, terpaksa menampung beban yang lebih besar, ketimbang golongan maha kaya yang tampaknya menjalani kehidupan seperti biasa.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up