Carian
March 22, 2021

KPM Harus Telus Untuk Melindungi Sekolah Dan Anak-anak

Jawatankuasa Pendidikan Blok Pembangkang memandang serius mengenai beberapa sekolah yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 di kalangan murid dan guru di seluruh negara.

Semua rakyat Malaysia pasti berasa sangat lega dengan pembukaan sekolah dimana anak-anak kita semua akan meneruskan sesi pembelajaran mereka yang tertangguh banyak kali sejak Mac tahun lalu.

Tetapi dalam masa yang sama, ibu bapa dan masyarakat tempatan juga pasti berasa resah jika sekolah menjadi pusat penyebaran jangkitan dan mewujudkan kluster baharu.

Punca keresahan ini timbul adalah kerana tiadanya perkongsian data oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan dengan sekolah yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 ini dan tiada ruang untuk masyarakat setempat melibatkan diri dalam melindungi sekolah di kawasan masing-masing.

Kerajaan telah menyeru rakyat untuk memberi kerjasama dalam melawan Covid-19, namun rakyat,dan dalam isu ini, warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat tidak diberi kuasa, ruang, dan sumber untuk melibatkan diri dalam usaha melindungi sekolah dan anak-anak kita.

Jawatankuasa ini pada 20 Februari 2021 telah menggesa kerajaan untuk memberi autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah (jika ada) untuk membuat keputusan bersama dalam menentukan buka atau tutup sekolah mengambil kira keadaan dan kadar kes di kawasan masing-masing. Ini perlu dilaksanakan dengan segera.

Dalam pada itu, KPM juga perlu telus dalam memberikan maklumat kepada awam mengenai kes Covid-19 di sekolah. Perkongsian data ini akan memudahkan semua pihak untuk menjadi lebih bersedia melawan Covid-19 di kawasan mereka.

Satu-satunya cara untuk melindungi sekolah dan anak-anak kita adalah dengan ketelusan dari pihak KPM serta komitmen untuk memperkasakan pemegang taruh tempatan termasuk ibu bapa dalam usaha tersebut.

JAWATANKUASA PENDIDIKAN BLOK PEMBANGKANG

Related Posts
crossmenuchevron-up