Carian
June 8, 2021

Kurangkan Kesesakan Penjara Untuk Melindungi Rakyat Malaysia

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) menggesa Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara dan pusat tahanan demi melindungi seluruh rakyat Malaysia. Kesihatan penjara juga merupakan kesihatan awam.

Menurut laporan media sepanjang beberapa bulan lepas, dianggarkan terdapat lebih 20,000 kes Covid-19 di penjara dan pusat tahanan termasuk kes jangkitan kakitangan penjara. Sebagaimanatercetusnya gelombang ketiga Covid-19 pada September 2020 yang berpunca daripada pusat tahanan, jelas sekali, dinding penjara semata-mata tidak dapat memerangkap virus dan penularan boleh merebak ke dalam komuniti dan membahayakan masyarakat.

Bagi memahami isu ini dengan lebih lanjut, satu taklimat telah diatur bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Mengenai Reformasi Penjara dan Tempat Tahanan (KRPPM) yang diwakili oleh ahli akademik Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dan peguam Sangeet Kaur Deo.

Antara lain, penyelesaian yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan ini termasuklah pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi 11,018 tahanan yang mempunyai sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari tiga bulan.

Hukuman alternatif kepada pemenjaraan buat kesalahan ringan juga perlu diteliti seperti hukuman denda, khidmat masyarakat, dan penahanan rumah dengan pemantauan peranti. Contohnya, kerajaan perlu mengenakan hukuman alternatif kepada pelanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hukuman penjara hanya akan menambah kepada masalah kesesakan dan berkemungkinan meningkatkan risiko penularan virus di pusat-pusat tahanan.

Tangkapan Pekerja Asing Rencat Usaha Capai Imuniti Kelompok (Herd Immunity) Selain itu, kami juga memandang serius laporan mengenai penahanan 156 warga asing tanpa dokumen dalam serbuan salah satu operasi bersepadu besar-besaran Jabatan Imigresen baru-baru ini.

Bukan sahaja tindakan ini menjejaskan langkah untuk mengurangkan kesesakan pusat tahanan, malah iamerencatkan usaha kita untuk mencapai imuniti kelompok Covid-19 (pemvaksinan 80% penduduk) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penahanan migran tanpa dokumen akan mencetuskan rasa takut dan curiga yang akan menghalang golongan ini daripada mengambil vaksin secara sukarela. Dengan anggaran sekurang-kurangnya 2 juta migran tanpa dokumen menetap di Malaysia, kita tidak akan dapat mencapai imuniti kelompok jika mereka tercicir daripada vaksinasi. Komuniti ini hidup seiring dengan rakyat Malaysia dan virus tidak mengenal kewarganegaraan.

Kegagalan untuk melindungi migran dengan vaksin akan menyebabkan masyarakat kita terus terdedah kepada Covid-19 ini, termasuk varian baharu yang lebih berbahaya dan
mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa.

Oleh itu, kami menggesa Menteri Penyelaras Vaksin Khairy Jamaluddin untuk menyalurkan segala sumber dan tenaga kerja untuk mempercepatkan perolehan dan pemberian vaksin dan memegang teguh kepada jaminan beliau untuk melaksanakan proses pemvaksinan secara menyeluruh, tanpa mengira kewarganegaraan penerima.

YB MOHAMAD BIN SABU (AMANAH)

YB SYED IBRAHIM SYED NOH (KEADILAN)

SYAHREDZAN JOHAN (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up