LATIFF AHMAD ADALAH KENALAN PERNIAGAAN JAYA SUDHIR YANG PERNAH TERBABIT DALAM PELBAGAI KONTROVERSI SKANDAL BESAR

Selasa lalu, saya telah memfokuskan kepada sebuah syarikat bernama JSD Corporation Pte. Ltd. yang dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik sebagai syarikat yang menerima bayaran untuk khidmat teknikal untuk projek-projek pertahanan laut negara.

Audit dalaman BHIC (anak syarikat Boustead yang dilantik menjadi kontraktor utama projek LCS) menunjukkan bahawa bayaran dibuat kepada JSD Corporation Pte. Ltd. sedangkan tiada bukti khidmat berlaku.

Apatah lagi, Laporan Audit Forensik juga merumuskan bahawa latar belakang syarikat ini menunjukkan ia tidak ada kena mengena dengan kepakaran untuk membina kapal perang.

Satu nama yang sering disebut-sebut oleh pimpinan kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pemberi maklumat (yang terlibat di dalam peringkat awal perancangan projek LCS) sebagai salah satu watak yang turut mendapat laba dari projek LCS ialah seorang ahli perniagaan Malaysia yang bernama Jaya Sudhir Jayaram.

Jaya Sudhir bukanlah nama yang asing bagi mereka yang pernah berurusan dengan kontrak-kontrak besar negara. Rekodnya menunjukkan dia ada hubungan dengan ahli-ahli politik di Malaysia dan Sri Lanka; serta pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Contohnya, carian di internet menunjukkan dia pernah dikaitkan dengan skandal-skandal berikut:

1. Jaya Sudhir pernah ditangkap di Sri Lanka kerana cuba menyeludup keluar wang berjumlah USD100,000 (bersama-sama anaknya) yang melanggar undang-undang Sri Lanka

Sumber:

https://www.newsfirst.lk/…/jaya-sudir-jayaram-sri…/

2. Akibat dari kegiatan perniagaannya dengan tokoh-tokoh berprofil tinggi di Sri Lanka, pihak media di sana telah menjalankan pelbagai siasatan, termasuk mendedahkan penglibatannya di dalam skandal jual beli minyak mentah dengan Iraq di bawah sekatan perdagangan PBB (dikenali sebagai oil for food). 

 Sumber: Sunday Times, Sri Lanka (24 Disember 2017)

https://www.pressreader.com/…/20171224/281509341553525

Siasatan Sunday Times dan media antarabangsa mengenai peranan Jaya Sudhir Jayaram di dalam skandal jual beli minyak dengan merasuah Kerajaan Iraq dan melanggar undang-undang Malaysia mendedahkan perkara-perkara berikut:

– Jaya Sudhir dan dua lagi rakan perniagaannya yang dinamakan di dalam siasatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (The Independent Inquiry Committee into the United Oil-for-Food Programme) telah dituduh merasuah rejim Saddam Hussein sehingga USD10 juta untuk mendapat kontrak membeli minyak mentah dari Iraq di bawah skim itu

– Dua lagi rakan perniagaannya yang dinamakan itu adalah pemilik Mastek Sdn Bhd (syarikat yang didedahkan terlibat dalam skim merasuah rejim Saddam Hussin) adalah Noor Aishah Mahmood (adik ipar Tun Abdullah Badawi, bekas Perdana Menteri) dan Faek Ahmad Sharef (bekas suami Noor Aishah)

– Modus operandi Jaya Sudhir dalam skim-skim seperti ini termasuklah mewujudkan syarikat-syarikat palsu (shell company) seperti Keppel Oil

3. Dalam kontroversi terkini, Jaya Sudhir juga dinamakan sebagai watak utama yang cuba mendapatkan konsesi Kerajaan Malaysia untuk mengendalikan aplikasi MySejahtera.

Laporan di portal Code Blue (https://codeblue.galencentre.org/…/mysj-to-get…/), sebuah portal berkenaan isu-isu kesihatan telah menamakan Jaya Sudhir dan anak-anaknya seperti berikut:

– Syarikat yang dikawal Jaya Sudhir (melalui dua anaknya iaitu Johnathan Jaya Sudhir dan Gregory Jaya Sudhir) iaitu P2 Aset Management Sdn Bhd adalah salah satu pemegang saham dalam MySejahtera Sdn Bhd.

– MySejahtera Sdn Bhd adalah syarikat yang akan mengambil alih aplikasi MySejahtera dari pembangun asalnya. Setelah pengambil alihan, MySejahtera bebas memasuki perjanjian konsesi dengan Kerajaan Malaysia untuk membangunkan lagi penggunaan aplikasi MySejahtera (sama ada dibayar oleh Kerajaan Malaysia atau dikomersialkan).

– Sebagai salah satu pemegang saham dalam MySejahtera, P2 Aset Management Sdn Bhd yang dikawal oleh Jaya Sudhir telah menyaman pemegang-pemegang saham lain dalam pertelingkahan korporat (corporate dispute)

– Jaya Sudhir juga dilantik sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan (Chief Business Development Officer) MySejahtera yang sudah tentu akan merundingkan sebarang konsesi dan perjanjian dengan Kerajaan Malaysia

Oleh sebab-sebab inilah saya berminat untuk menyiasat penglibatan Jaya Sudhir di dalam skandal LCS kerana nama beliau disebut-sebut sebagai salah satu orang penting oleh pegawai-pegawai tertinggi TLDM.

Satu syarikat yang disebut dikaitkan dengan Jaya Sudhir adalah JSD Corporation Pte Ltd yang telah dinamakan sebagai penerima bayaran khidmat teknikal oleh BNS bagi khidmat yang tidak wujud.

Apatah lagi nama syarikat JSD adalah tepat dengan akronim nama Jaya Sudhir.

Semakan dengan pendaftar syarikat di Singapura menunjukkan nama Jaya Sudhir tidak ada dalam daftar pemegang saham atau pengarah, iaitu modus operandi yang diketahui telah digunakan sebelum ini dalam skandal-skandal lain. 

Oleh itu, walau pun nama Jaya Sudhir tidak ada secara rasmi di dalam JSD Corporation Pte Ltd, saya beranggapan perkara ini perlu disiasat dengan lebih mendalam oleh pihak berkuasa memandangkan rekodnya yang terbabit dalam banyak skandal besar negara dan modus operandi yang licik sebelum ini.

Apatah lagi, apabila ada bukti bahawa Jaya Sudhir rapat dengan Latiff Ahmad melalui pegangan mereka di dalam sebuah syarikat yang turut dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik LCS iaitu Mega P Asia Sdn Bhd.

Latiff Ahmad merupakan pemegang saham asal di dalam syarikat ini yang mendapat pelbagai kontrak-kontrak pertahanan laut dari anak-anak syarikat Boustead, termasuk untuk membekalkan tenaga kerja kepada projek-projek di bawah Boustead.

Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bagaimana kedua-dua anak Jaya Sudhir iaitu Johnathan Jaya Sudhir dan Gregory Jaya Sudhir telah menggantikan Latiff Ahmad dan adiknya Abdul Aziz Ahmad sebagai pengarah-pengarah di dalam Mega P Asia Sdn Bhd pada 10 March 2020 (iaitu sekitar tarikh selepas berlakunya Sheraton Move dan Latiff menyertai Jemaah Menteri).

(semak carian SSM yang dilampirkan bersama)

https://drive.google.com/…/1nhHRnfKmhXAQUC9zz8n…/view…

Berdasarkan bukti-bukti ini, ia jelas menunjukkan talian hubungan di antara tokoh-tokoh politik dan ahli perniagaan yang mempunyai rekod buruk seperti Jaya Sudhir.

Hakikat bahawa Jaya Sudhir terkait di dalam tiga skandal besar negara setiap satu dekad (2000 – 2010 semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi, 2010 – 2020 di dalam skandal LCS dan kini 2020 – 2030 di dalam skandal MySejahtera) menunjukkan bagaimana berpengaruhnya kroni-kroni di belakang tabir seperti ini.

Dengan pendedahan ini, saya menunggu:

1. Maklum balas Latiff Ahmad setelah bukti demi bukti ditunjukkan bagaimana dia adalah watak penting di dalam skandal LCS melalui hubungan perniagaan dengan Alizes Marine Ltd dan kini Jaya Sudhir 

2. Maklum balas dari Jaya Sudhir mengenai pendedahan ini 

RAFIZI RAMLI


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *