LULUS PINDAAN PERLEMBAGAAN SATU KEMENANGAN BESAR BUAT RAKYAT

LULUS PINDAAN PERLEMBAGAAN SATU KEMENANGAN BESAR BUAT RAKYAT

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat gembira dan berbangga bahawa Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat semalam. Jumlah ini bersamaan dengan sokongan sebanyak 95 peratus, berbanding 5 peratus atau 11 Ahli Dewan Rakyat yang tidak hadir.

Pindaan Perlembagaan yang sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia. Ia merupakan salah satu tiang seri kepada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam, maka keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih. Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbetul keadaan politik dan demokrasi dalam negara, serta menjamin episod khianat seperti Langkah Sheraton tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan ini, maka 15 dari 18 Perkara yang dipersetujui di dalam MoU ini telah dilaksana, bersamaan 83.3 peratus. Pada waktu ini, tiga Perkara yang masih perlu dilaksanakan adalah seperti berikut:

• Mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun;
• Membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen; dan
• Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.
Pada masa yang sama, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi Kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa.

Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani. Ini bermakna MoU yang dimeterai pada 13 September 2021 akan terus berkuatkuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU.

Oleh itu, Majlis Presiden mengarahkan wakil-wakil Pakatan Harapan di dalam Jawatankuasa Pemandu MoU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil-wakil Kerajaan bagi membincangkan beberapa Perkara di dalam MoU yang masih berbaki, di samping meneliti perkara-perkara yang dinyatakan Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *