Carian
March 15, 2022

Masa Depan Parti KEADILAN?

Adalah benar, Parti Keadilan kalah teruk dalam tiga pilihanraya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Apakah ini bermakna Parti Keadilan sudah tidak ada masa hadapan?

Jawapannya tidak.Parti Keadilan bukannya seperti Parti Semangat 46, selepas tewas dua kali pilihanraya umum (1990 dan 1995), terus tutup kedai dan rujuk semula ke dalam Umno.

Parti Keadilan yang nama penuhnya Parti Keadilan Rakyat adalah parti reformasi dan parti perjuangan. Jika disusur galur sejarahnya, Parti Keadilan bukan hanya bermula dari letusan reformasi tahun 1998. Parti Keadilan Rakyat yang merupakan percantuman dua buah parti politik (Parti Keadilan Nasional (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 2003 mempunyai sejarah panjang.

PKN mewarisi gerakan reformasi 1998 manakala PRM mewarisi perjuangan sejak Kesatuan Melayu Muda,KMM (1930an), Parti Kebangsaan Melayu Malaya,PKMM (1946) dalam menentang penjajahan Inggeris untuk kemerdekaan tanahair.

Parti reformasi dan parti yang mewarisi perjuangan kebangsaan untuk kemerdekaan yang ada pada batang tubuh Parti Keadilan ini, tidak akan lumpuh dan mati hanya kerana kalah beberapa pilihanraya.

Ada hikmah kepada Parti Keadilan sebenarnya setelah melalui beberapa kekalahan dalam pilihanraya peringkat negeri. Parti Keadilan akan dapat segera mempelajari, menilai, menganalisis keadaan untuk bangkit kembali menjelang Pilihanraya Umum ke-15 dengan strategi yang ampuh dalam menangani keadaan politik, ekonomi dan sosial semasa yang banyak berubah sekarang ini.

Parti Keadilan masih merupakan antara blok politik terbesar di parlimen dengan memiliki jumlah ahli parlimen yang ramai. Presidennya Anwar Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Anwar Ibrahim juga masih mengetuai Pakatan Harapan (PH) iaitu blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.

Parti Keadilan sebuah parti demokrasi yang mengamalkan sistem terbuka dan bebas satu anggota satu undi untuk memilih pucuk pimpinan termasuk presiden akan menjalankan pemilihan parti pada bulan April depan dan diikuti dengan Kongres Nasional pada bulan Mei berikutnya.

Proses peremajaan Parti Keadilan sentiasa berlaku. Tiada sesiapa akan dihalang untuk mencabar Anwar Ibrahim sebagai Presiden. Sesiapa yang bersedia dan berani, semua lorong dan jalan dibuka untuk jawatan Presiden Keadilan dicabar.

Oleh kerana Parti Keadilan parti reformasi dan parti perjuangan, maka tidak ada sesiapa akan dianugerahkan jawatan kepimpinan di atas dulang perak. Juara tinju Muhammad Ali tidak menjadi seorang juara jika dia tidak mencabar Sony Liston, juara menanti. Begitu juga John F Kennedy tidak akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang penuh karismatik jika dia tidak menumbangkan pencabarnya Richard Nixon dari Parti Republikan.

Begitu juga halnya dengan Anwar Ibrahim. Dia tidak diberi kepimpinan di atas dulang perak. Dia berjuang untuk dinobatkan sebagai seorang pemimpin sejak zaman muda. Anwar bersaing sesama rakan pimpinan seangkatannya untuk akhirnya beliau muncul sebagai Presiden Belia Malaysia (MBM) sebuah gabungan pergerakan belia pelbagai kaum dan agama yang menjadi badan induk belia Malaysia pada tahun 1974.

Orang di luar Parti Keadilan boleh bersuara supaya Anwar Ibrahim berundur setelah Keadilan dan PH kalah dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Tetapi hanya anggota Parti Keadilan sahaja yang mempunyai hak dan keistimewaan jika mereka mahu menjatuhkan Anwar Ibrahim. Jadi cabaran terletak kepada anggota Keadilan sendiri untuk menentukan masa hadapan Parti Keadilan.

Jika ada di kalangan anggota Parti Keadilan merasakan Anwar Ibrahim sudah tidak lagi relevan, maka pemilihan parti pada bulan April depan adalah masanya. Semua orang dalam Parti Keadilan berhak untuk mencabar Anwar Ibrahim sebagai calon Presiden. Tetapi masing-masing perlu bercermin diri.Misalnya dalam PRN Johor yang baru berlalu ini, siapakah yang paling kuat berkempen untuk memenangi calon-calon Keadilan jika bukan Anwar Ibrahim?

Begitu juga sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang di Parlimen. Tidak ada sesiapa yang akan menghalang untuk orang lain menggantikan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang. Jawatan-jawatan itu bukan dipegang selama ini oleh Anwar atas alasan tidak bersebab. Ada meritnya yang ada pada diri Anwar. Jika sudah sampai ketikanya kini, Anwar Ibrahim sudah tidak lagi relevan dan PRU-15 akan datang perlukan seorang jenderal baru untuk memimpin PH dan blok pembangkang, tidak ada siapa yang akan menghalang. Silalah pilih jenderal baru kalau ada.

Anwar Ibrahim tidak akan melepaskan tanggungjawabnya pada rakyat dan negara secara mudah, santai-santai begitu sahaja. Beliau seorang pejuang yang tahu tugas sejarahnya. Bukan sia-sia beliau bertahan berbelas tahun di dalam penjara. Itu harga yang perlu dibayar demi idealisme perjuangannya.

Anwar Ibrahim tidak mendapat percuma mendaki saf kepimpinan dulu di zaman dia berada di dalam Umno. Untuk menjadi Ketua Pemuda Umno, Anwar bertarung mengalahkan Haji Shuhaimi Kamarudin. Dari jawatan itu beliau menjadi Naib Presiden Umno juga melalui persaingan yang sengit. Dia menang. Jawatan Timbalan Presiden Umno kepadanya tidak datang menggolek. Anwar perlu mencabar Tun Ghafar Baba dan menewaskannya di gelanggang politik. Begitulah seterusnya Anwar Ibrahim tidak ke penjara jika dia tunduk dan akur menyerah kalah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Umno dan Perdana Menteri yang menzaliminya.

Jadi adalah satu kesilapan jika ada sesiapa yang menganggap Anwar Ibrahim sudah tidak lagi relevan dan Parti Keadilan sudah tidak ada masa hadapan.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang

Related Posts
crossmenuchevron-up