Carian
September 11, 2021

Memorandum Persefahaman Demi Rakyat

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat pada hari ini untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman di antara Pakatan Harapan dan pihak Kerajaan, di mana Pakatan Harapan telah memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Memorandum persefahaman ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad bin Sabu, bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.

Siri pertemuan di antara wakil Pakatan Harapan dan wakil Perdana Menteri, yang terdiri daripada:

Wakil Perdana Menteri:
• YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri
• YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli
• YB Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
• YB Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia
• YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan

Wakil Pakatan Harapan:
• YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN
• YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden AMANAH
• YB Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP
• YB Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP
• YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan KEADILAN
• YB Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi KEADILAN

Pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik COVID-19. Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola Kerajaan turut dibincangkan.

Pakatan Harapan berpendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana COVID-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik COVID-19 dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat. Di samping itu perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40.

Majlis Presiden turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum tersebut, seperti memperkasakan pelaksanaan Undi 18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman, antara lain. Wakil-wakil turut telah membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini.

Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik COVID-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita.

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up