Carian
June 23, 2021

Mengapakah Kerajaan PN Masih Menimbangkan Cadangan WCT?

1. Menjadi perhatian saya bahawa Menteri Pengangkutan sedang meneliti cadangan pengambil alihan ke atas pembangunan semula LTSAAS oleh Tan Sri Desmond Lim Siew Choon dan WCT Holdings Berhad (WCT).

2. Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menguruskan LTSAAS dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk bagi Malaysia Airlines Berhad, telah menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap pengambilalihan tersebut.

3. Terdahulu, Kesatuan Sekerja MAHB (KESMA) telah mendesak kerajaan PN untuk menolak cadangan tersebut. Jika desakan mereka tidak diendahkan maka mereka akan melaksanakan protes aman. Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam juga telah menyuarakan bantahan mereka terhadap pembangunan semula berkenaan.

4. Sebagai Jurucakap Parlimen Keadilan untuk Pengangkutan, saya amat bimbang dengan perkembangan ini. Meskipun terdapat bantahan jelas daripada pemegang taruh utama, mengapakah kerajaan PN masih menimbangkan cadangan WCT?

5. Terdapat banyak lagi persoalan yang perlu dijawab. Apakah ciri-ciri penting terma kepada cadangan pengambil alihan dan mengapakah tiada proses tender terbuka? Kerajaan juga perlu bersikap telus berkenaan skop dan terma cadangan konsesi. Apa akan berlaku kepada status undang-undang MAHB dan kepentingan di LTSAAS?

6. Mengambil maklum bahawa MAHB bukan sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia tetapi juga sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di mana 60 peratus sahamnya dimiliki secara kolektif oleh Khazanah, KWSP, Permodalan Nasional dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) maka agak aneh apabila Menteri melayan cadangan oleh Desmond Lim dan tidak berpihak kepada MAHB. Apakah Desmond Lim mempunyai kuasa pengaruh yang istimewa ke atas Menteri?

7. Lebih penting lagi, Menteri wajib menjawab pada peringkat dasar bagaimanakah cadangan pengambil alihan tersebut membawa manfaat kepada Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030?

8. Saya menggesa kerajaan untuk menolak cadangan tersebut dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengawal pandemik. Penggantungan parlimen tidak sewajarnya digunakan untuk mengambil kesempatan untuk mengejar tawaran urusniaga yang kabur dan kontroversi.

9. Memandangkan sidang parlimen masih digantung dan pembukaan “segera”nya masih tidak menentu meskipun telah ada ingatan yang jelas daripada DYMM Agong, saya mencabar Menteri Pengangkutan dan Kerajaan PN untuk tampil memberi respon secara telus dan segera terhadap persoalan yang ditimbulkan.

SYED IBRAHIM SYED NOH
Jurucakap Parlimen KEADILAN untuk Pengangkutan
Ahli Parlimen Ledang
Pengerusi KEADILAN Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up