Carian
September 15, 2022

MESYUARAT FISKAL DAN BELANJAWAN KEADILAN BERSAMA KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

Baru-baru ini, YB Nurul Izzah, YB Wong Chen dan YB Fuziah Salleh telah mewakili KEADILAN pada mesyuarat pra-belanjawan bersama Menteri Kewangan, YB Tengku Zafrul (MoF). Mesyuarat itu berlangsung pada petang 13hb September 2022 di Putrajaya. Mesyuarat itu adalah mesyuarat pra-belanjawan diantara Pakatan Harapan (PH) dengan Kementerian Kewangan.

Permintaan untuk mesyuarat ini sebenarnya dimulakan oleh YB Wong Chen yang telah menghubungi Menteri Kewangan pada 29hb Ogos 2022. Pada akhir mesyuarat, kesemua pihak bersetuju untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu lagi mesyuarat sebelum pembentangan Belanjawan yang telah dijadualkan pada 7hb Oktober 2022.

Berikutan pengeluaran kenyataan media berasingan oleh beberapa parti mengenai mesyuarat itu, KEADILAN kini mengeluarkan kenyataan media ini. Berbeza daripada parti lain, KEADILAN memulakan dialog dengan Kementerian Kewangan dengan memberi tumpuan kepada masalah fiskal asas iaitu perkara hasil kerajaan.

Dari segi hasil, KEADILAN meminta kerajaan supaya memastikan unjuran hasil bagi tahun 2023 adalah tepat, benar dan adil. KEADILAN menggesa kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan terdahulu iaitu mengunjurkan hasil yang terlalu optimistik atau tidak logik. KEADILAN sangat tegas dalam perkara ini; unjuran hasil yang salah bukan sahaja akan mengganggu operasi kerajaan tahun depan tetapi juga akan menyebabkan kesan negatif ke atas keseluruhan perbelanjaan.

Menyedari bahawa kos subsidi baru-baru ini telah naik kepada RM77.7 bilion, KEADILAN menggesa kerajaan untuk mula bersungguh-sungguh meneroka sumber hasil lain yang lebih progresif, seperti cukai keuntungan modal ke atas saham dan cukai harta pusaka, dan kembali dengan beberapa cadangan terperinci untuk kami pertimbangkan.

Kami juga mencadangkan supaya kerajaan mengarahkan Petronas untuk merombak dan mengurangkan margin keuntungan tinggi semua vendor Petronas. Dengan melaksanakan dasar vendor yang lebih berdaya saing, telus dan bertanggungjawab, KEADILAN percaya bahawa keuntungan Petronas dapat meningkat secara mendadak. Kami berpendapat bahawa peningkatan keuntungan Petronas ini adalah tersangat penting bagi mengurangkan tahap hutang negara yang tidak lagi mampan.

Mengenai perkara perbelanjaan pembangunan, kami memberi pesanan kepada kerajaan supaya pengurusan semua projek-projek mega perlu diperketatkan, tidak kira sama ada dibiayai secara langsung atau melalui inisiatif kewangan swasta (PFI). Kerajaan hanya harus meneruskan projek yang sedang berjalan supaya siap atau projek yang dianggap amat perlu. Projek-projek ini harus dilakukan secara tender terbuka dan kompetitif, dengan harga yang berpatutan. Yang paling penting adalah memastikan projek tersebut mampu menjana pengganda ekonomi (economic multiplier) yang baik. Sudah terlalu lama kos projek-projek mega di Malaysia telah dinaikkan secara korup sehingga menyebabkan projek-projek ini tidak dapat menjana apa-apa pengganda ekonomi.

Mengenai perkara perbelanjaan mengurus, KEADILAN sedar bahawa kapasiti kerajaan memang terhad untuk melaksanakan apa-apa dasar baharu, dan oleh itu KEADILAN menggesa kerajaan memberi lebih tumpuan kepada isu subsidi bagi tahun 2023. Kami sedar bahawa sebahagian besar daripada kebanyakan subsidi hilang akibat aktiviti penyalahgunaan dan penyeludupan. Kami berpandangan bahawa subsidi petrol bersifat universal semasa adalah tidak mampan dan memberi manfaat berlebihan kepada golongan kaya daripada golongan B40. Oleh itu, KEADILAN mencadangkan supaya kerajaan meneliti penetapan harga berperingkat dan juga pemberian tunai sebagai suatu penyelesaian isu subsidi.

Bagi isu mata wang dan inflasi, kami minta kerajaan memberi jaminan bahawa Bank Negara akan bebas daripada pengaruh politik yang tidak wajar, supaya mereka dapat melaksanakan dasar monetari yang berhemat. Kami juga minta kerajaan mengarahkan GLIC mengurangkan portfolio ekuiti luar negara dan membawa pulang wang ini ke Malaysia bagi mempertahankan nilai ringgit.

Selepas selesai berkongsi pandangan kami mengenai isu fiskal dan ekonomi, KEADILAN kemudiannya telah membentangkan 12 dasar ekonomi, politik dan sosial untuk membantu rakyat. KEADILAN mengambil kedudukan untuk menjelaskan 12 dasar-dasar dan kemudian meminta kerajaan supaya mempertimbangkan kesemua cadangan dasar kami dan merangka peruntukan bajet bagi dasar-dasar tersebut dalam mesyuarat akan datang.

Senarai 12 cadangan dasar-dasar kerajaan adalah seperti berikut:

1. mempercepat kelulusan permit pekerja asing untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan majikan pulih daripada pandemik;
2. menangani isu kehilangan pembelajaran semasa pandemik oleh pelajar-pelajar kita;
3. membantu industri pelancongan dengan pekerja dan modal, kerana industri ini boleh menjadi sumber pendapatan yang baik untuk membantu mempertahankan mata wang kita;
4. menjadi lebih mesra kepada penduduk asing yang membawa masuk modal, kemahiran dan penggunaan ekonomi yang sangat diperlukan;
5. menangani masalah ketakjaminan makanan (food insecurity) dengan memperkasakan petani dan nelayan, dan menambah baik logistik rantaian bekalan;
6. merancakkan TVET dan menangani masalah pengangguran yang telah berlarutan;
7. bersiap sedia sekarang bagi menghadapi banjir dan memperuntukkan dana yang besar untuk usaha menyelamat dan pemberian bantuan;
8. menambah baik Belanjawan Responsif Gender dan memastikan kementerian-kementerian mematuhi cara pelaporan;
9. memperuntukkan bajet dan membuat persiapan bagi meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen, dan untuk memindahkan Kumpulan Wang Pembangunan Kawasan Parlimen (CDF) daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Parlimen;
10. memastikan pelancaran penuh vaksin HPV untuk kanak-kanak perempuan di semua sekolah;
11. menggalakkan lagi pelaksanaan SDG di semua peringkat kerajaan; dan
12. memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk memantau perubahan iklim dengan bagus dan bersiap sedia untuk perdagangan karbon (carbon trading).

WONG CHEN
AHLI PARLIMEN SUBANG

Related Posts
crossmenuchevron-up